Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACO) telah menggerakan langkah untuk menstabilkan harga dalam memastikan bekalan barangan itu diperoleh.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, sehingga Selasa lalu, FAMA dan FAMACO telah membawa masuk bekalan kelapa tua dikupas sebanyak 734 tan metrik dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian berjumlah RM2.01 juta.

“Bekalan kelapa tua tersebut seterusnya diedarkan oleh 42 buah Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 buah outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), Pasar Tani, Pasar Tani Kekal.

“Sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 orang usahawan santan di seluruh negara,” katanya dalam menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang ingin kerajaan meperincikan perancangan jangka pendek, pertengahan dan panjang untuk menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutama santan yang boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan dan nilai berteraskan kelapa akibat kekurangan bekalan kelapa tempatan, kenaikan harga kelapa dari Indonesia dan faktor cuaca.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutamanya santan adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama.

“Peningkatan harga kelapa di pasaran sejak November 2024 berpunca daripada kenaikan harga kelapa import dari Indonesia berikutan kekurangan bekalan serta peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China.

“Kesannya, harga kelapa tempatan turut meningkat kerana permintaan yang lebih tinggi. Selain itu, trend petani tempatan yang lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding kelapa tua turut menyumbang kepada bekalan yang tidak mencukupi untuk pemprosesan santan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, buat masa ini negara pengimport kelapa seperti Indonesia tidak mengurangkan jumlah import mereka ke Malaysia namun bertindak menaikkan harga barangan tersebut.

“Indonesia tidak mengurangkan jualan kelapa kepada Malaysia cuma mereka naikkan harga. Itu hak mereka kerana kita tahu pasaran kelapa bergantung kepada permintaan dan penawaran,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here