PELABUHAN KLANG – Taktik sindiket mengikrarkan tembakau hookah sebagai kelengkapan sekolah untuk mengelak aktiviti jenayah dihidu pihak berkuasa ketika melakukan penyeludupan melalui pintu negara awal tahun ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, pihaknya berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan itu selepas menahan dan memeriksa sebuah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat di sini pada 9 Januari lalu.
“Hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut mengandungi 3,402 karton disyaki tembakau hookah seberat 20,418 kg dan tidak mempunyai permit import.
“Nilai dagangan dianggarkan berjumlah RM2,450,160 manakala jumlah duti atau cukai ialah RM1,936,238,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara hari ini.
Ahmad Taufik juga berkata, pengimportan tembakau hookah atau lebih dikenali sebagai shisha tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kastam.
“Ia digariskan mengikut Butiran 66, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Beliau berkata, tembakau hookah itu dipercayai diseludup dari negara di Asia Barat.
“Kes ini masih dalam siasatan dan sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan.
“Kes ini juga disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam iaitu pengikrar tidak benar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette