JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menggempur beberapa lokasi panas sekitar bandar raya ini dan menahan 75 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi penguatkuasaan kelmarin dan hari ini.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi pertama dilakukan sekitar Pasar Borong Pandan di sini sekitar pukul 3 petang kelmarin.
“Operasi dilakukan selepas JIM Johor menerima maklumat awam mengenai kehadiran warga asing yang bekerja tanpa permit sah.
“Hasil operasi, sebanyak 20 premis diperiksa dan seramai 66 individu diperiksa, manakala 35 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Ops Sapu yang dijalankan di Bandar Baru Permas Jaya pukul 12.30 tengah malam tadi pula membabitkan pemeriksaan ke atas sembilan premis rumah kedai.
Menurutnya, dalam operasi tersebut seramai 64 warga asing diperiksa dan 40 daripada mereka ditahan untuk siasatan lanjut.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan sembilan wanita warga Myanmar, 11 lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Pakistan, serta 11 lelaki dan 19 wanita warga Indonesia. Dua lelaki warga Vietnam turut ditahan,” ujarnya.
Menurut beliau, semua tahanan berusia antara 18 hingga 55 tahun itu disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sebanyak tujuh notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan sepanjang operasi ini bagi membantu siasatan, katanya.
“Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, JIM Johor akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi mengekang kemasukan dan penyalahgunaan pas imigresen oleh warga asing di negeri ini.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen. Kami akan terus menggempur lokasi-lokasi panas di seluruh Johor,” tegasnya. – MalaysiaGazette