KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengadakan jerayawara secara berperingkat-peringkat di seluruh negara bagi mendapat maklum balas pelbagai pihak berhubung cadangan penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kumpulan teknikal kerajaan telah mengadakan perbincangan dan mempunyai maklumat tertentu sebelum mendapatkan pandangan parti-parti politik.
“Saya pun tidak tahu ada 68 parti politik di negara ini, ada yang mempunyai ahli yang sedikit, ada yang banyak, ada pula yang mempunyai wakil dalam kerajaan dan sebaliknya.
“Jadi kita akan kaji dan teliti pandangan semuanya. Saya mahu lihat lebih banyak maklum balas umum, tidak semestinya daripada ahli politik meskipun undang-undang yang digubal memberi manfaat kepada mereka,” ujar beliau.
Azalina menyatakan demikian selepas menghadiri sesi libat urus berkaitan penetapan dasar pengubalan Rang Undang-Undang Pendanaan Politik di sini hari ini.
Sebelum ini, beliau berkata, kerajaan akan mengadakan satu mesyuarat bersama setiausaha agung semua parti politik dalam masa terdekat mengenai cadangan penggubalan RUU berkenaan.
Menurut Azalina lagi, dana politik itu memberi kesan kepada parti politik, ahli politik dan kempen pilihan raya yang bakal dijalankan.
Ujar beliau, kadang-kadang ada pihak tidak terlibat dalam pilihan raya, namun sumbangan diterima bagi menyokong visi parti atau sokongan secara peribadi.
“Penderma boleh jadi sesiapa sahaja, boleh jadi individu, syarikat atau badan bukan kerajaan (NGO), yang pasti bukan dari luar. Rakyat kini semakin cerdik menilai.
“Garis masa juga perlu dilihat sama ada ia melibatkan sumbangan menjelang pilihan raya atau sebelumnya,” ujar beliau.
Azalina selanjutnya berkata, beliau juga akan mendapatkan kerjasama daripada universiti bebas bagi menjalankan kajian berkaitan isu-isu yang dibangkitkan.
Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, sehingga bulan lalu, sebanyak lima sesi libat urus diadakan bersama wakil parti politik. – MalaysiaGazette