Krematorium Jalan Kuari di Cheras, yang dilihat sebagai tempat persemadian untuk warga kota kurang mampu, akan menaikkan harga perkhidmatan, menjadikan kos kematian lebih mahal.
Krematorium yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk kemudahan kaum bukan Islam itu dilaporkan menaikkan harga pembakaran mayat daripada RM100 kepada RM1,000.
Kos itu juga tidak termasuk kos sewaan dewan sebanyak RM300 sehari. Keadaan itu bermaksud kos persemadian sahaja boleh mencecah RM1,600 selepas mengambil kira kos sewaan untuk upacara sebelum dan selepas pembakaran.
Selain itu, pihak yang menguruskan persemadian si mati juga perlu membayar wang cagaran sebanyak RM1,000.
Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai berkata, kenaikan harga secara mendadak adalah seperti “ah long” dan menambah beban ahli keluarga yang kehilangan orang tersayang.
“Kos pengebumian sekarang sudah mahal, dan DBKL pula menaikkan bayaran sebanyak 1,000 peratus. Ini sudah melampau,” katanya seperti dipetik oleh Oriental Daily.
Katanya, walaupun harga baharu itu belum dilaksanakan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif, telah menandatangani dokumen kenaikan harga pada 1 Februari.
Beliau juga mempertikaikan wang cagaran untuk setiap mayat yang dikendalikan.
“Buat pertama kalinya, wang cagaran sebanyak RM1,000 perlu dibayar untuk setiap mayat, tetapi DBKL tidak menjelaskan penggunaannya dan cara pembayaran balik,” katanya. – MalaysiaGazette