KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini telah meluluskan kadar baharu bagi Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant).
Kadar baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2026 dan melibatkan kenaikan 25% atau RM109 juta kepada RM548 juta.
Ini merupakan julung kalinya kadar Capitation Grant dikaji semula sejak tahun 2002.
Semakan kadar tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk membantu kerajaan negeri menyempurnakan perkhidmatan kepada rakyat.
Majlis Kewangan Negara tahun ini yang turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Menteri-menteri Besar serta Ketua-ketua Menteri juga telah meluluskan penambahbaikan garis panduan pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT).
Kementerian Kewangan berkata, tumpuan kerajaan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar terbukti dengan peningkatan peruntukan EFT daripada RM150 juta pada tahun 2023 kepada RM200 juta pada tahun 2024, dan seterusnya RM250 juta untuk tahun 2025.
“Melalui Majlis Kewangan Negara, kerajaan menunjukkan komitmennya untuk bekerjasama dan memberikan sokongan berterusan kepada semua kerajaan negeri ke arah pembangunan Malaysia Madani,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Tambah beliau, pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri mencecah RM9.3 bilion pada tahun 2024 dan ditingkatkan lagi dengan peruntukan RM9.8 bilion untuk tahun 2025 demi manfaat semua rakyat Malaysia.
Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pembangunan terangkum, di mana projek pembangunan baharu yang telah diluluskan dalam
Belanjawan 2025 diselaraskan dengan mengambil kira keutamaan setiap kerajaan negeri.
Peruntukan bagi program pertanian secara kerjasama dengan kerajaan negeri telah dilonjakkan kepada RM300 juta bagi tahun 2025 daripada RM150 juta pada tahun 2024.
Katanya, Kerajaan Persekutuan terus bertekad untuk memastikan hubungan dengan semua kerajaan negeri kekal utuh demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya. – MalaysiaGazette