GEORGE TOWN – Seorang tukang cuci dijatuhi hukuman penjara selama 11 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri wang berjumlah RM7,259 di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar pada Disember tahun lalu.
Tertuduh, C. Murli, 47, juga berdepan hukuman penjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman tersebut dijatuhkan selepas lelaki tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memecah masuk Pejabat Pusat Khidmat ADUN Komtar dengan tujuan mencuri wang utiliti yang berada di dalam pejabat berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 26 Disember 2024 pukul 8.11 malam di Pejabat Pusat Khidmat ADUN Komtar di George Town di sini.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pada 27 Disember 2024, pengadu yang bekerja di pusat khidmat berkenaan telah mendapati beg berisi wang tunai sebanyak RM7,259 untuk tujuan pembayaran utiliti yang disimpan dalam sebuah laci telah hilang.
Pengadu kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki telah memecah masuk pejabat berkenaan pada 26 Disember 2024 kira-kira pukul 8.11 malam serta mencuri wang berkenaan.
Beberapa kesan cap jari turut ditemui di lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati ia sepadan dengan cap jari tertuduh selain terdapat kesan umpil pada laci tempat menyimpan wang yang dilapor hilang berkenaan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam rayuan YBGK memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap tertuduh atas alasan dia bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM50 sehari selain menanggung ibunya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan.
Difahamkan, tertuduh tidak membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette