ISKANDAR PUTERI – Peruntukan RM4 juta disediakan bagi melaksana Program Jelajah Orang Johor (JOJ) melibatkan semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negeri dalam tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, peruntukan kerajaan negeri disalurkan di setiap kawasan DUN berjumlah RM70,000 bagi menganjur program merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat.
“Program JOJ ini memberikan peluang kepada masyarakat menyuarakan pandangan terus kepada pemimpin dan agensi berkaitan selain mendapat maklumat mengenai inisiatif kerajaan negeri.
“Program JOJ telah dimulakan di Kukup, Pontian dan akan diteruskan di DUN Parit Raja, Batu Pahat pada 19 April depan.
“Setiap DUN bebas merangka program mengikut keperluan masing-masing termasuk melibatkan komuniti FELDA atau Orang Asli jika ada,” katanya.
Zahari berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat program Jelajah JOJ di Kota Iskandar hari ini.
Untuk rekod, siri jelajah itu telah dimulakan di Kukup, Pontian dan akan diteruskan ke DUN Parit Raja, Batu Pahat pada 19 April depan.
Program JOJ akan bermula seawal subuh dan diteruskan sehingga malam dengan pelbagai pengisian termasuk sesi ramah mesra, pameran agensi kerajaan serta persembahan kebudayaan
Sementara itu, Zahari turut mengingatkan kesemua DUN agar bersiap sedia mengatur program masing-masing mengikut kesesuaian kawasan kerana setiap lokasi mempunyai keunikan tersendiri.
“Sebagai contoh di kawasan yang ada perkampungan Orang Asli atau Felda, kita akan melibatkan komuniti tersebut dalam pengisian program.
“Program ini bukan sekadar lawatan biasa sebaliknya menggabungkan pelbagai aktiviti melibatkan pemimpin negeri, wakil rakyat, jabatan kerajaan serta masyarakat setempat bagi mendengar sendiri suara rakyat dan menyampaikan maklumat terkini berkaitan dasar serta inisiatif kerajaan negeri.
“Sebenarnya, Menteri Besar berhasrat untuk turun ke semua 667 kampung di Johor tetapi disebabkan kekangan masa, kita memilih lokasi-lokasi strategik di setiap DUN supaya seramai mungkin rakyat berpeluang bertemu dan berdialog secara langsung dengan beliau,” katanya. – MalaysiaGazette