KUALA LUMPUR – Pembangkang menyifatkan kerajaan hanya bernasib baik dalam proses kelulusan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat, semalam.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata 148 Ahli Parlimen yang menerima pindaan tersebut menunjukkan kerajaan hanya mempunyai undi ‘cukup-cukup makan’ untuk meluluskan pindaan tersebut.
“Pindaan Pelembangaan yang mendapat 148 undi itu hanya cukup makan, 147 undi sudah tidak lulus RUU berkenaan.
“Jadi tidak payah nak cakap seolah-olah ia adalah reformasi. Kalau benar, sepatutnya semua Ahli-ahli Parlimen kerajaan kena ada dalam Dewan untuk menyokong pindaan tersebut,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Kerajaan Perpaduan berjaya meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang bertujuan untuk memberi laluan kepada penggubalan Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen 2025.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul ketika membaca keputusan tersebut berkata, berdasarkan undi berbelah bahagi, dua pertiga ahli Dewan bersetuju, manakala yang selebihnya sama ada tidak hadir atau tidak berkecuali.
Daripada 222 Ahli Parlimen, hanya 148 yang bersetuju manakala 57 tidak mengundi dan 17 tidak hadir.
Dalam pada itu, Hamzah berkata Ahli Parlimen yang tidak mengundi bukan bererti mereka menolak RUU berkenaan.
Malah katanya pembangkang bertindak tidak mengundi kerana mahukan kerajaan memperincikan dahulu sebelum meluluskan RUU berkenaan.
“Bila kita berkecuali, adalah kerana kita nak dapatkan ketegasan dalam menentukan apa sahaja undang-undang yang hendak dibawa dalam Parlimen itu biar sesuatu yang benar-benar jelas.
“Jadi masalah kita adalah kerana tidak jelas, mereka mengatakan lulus dahulu RUU ini, kemudian baru masuk RUU PSA,” katanya lagi.
Pada 1 Mac lepas lepas, Johari berkata, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat yang antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang berfungsi antaranya melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen.
Selain itu MPP juga bakal mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berkaitan Perkhidmatan Parlimen.
Menerusi RUU itu, kerajaan hendaklah mengadakan dana mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen setiap tahun untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya. – MalaysiaGazette