KUALA LUMPUR – Seramai 54 pelabur telah membuat laporan polis selepas menjadi mangsa skim pelaburan Redeemable Preference Share (RPS) yang didakwa menyasarkan pesara syarikat minyak besar dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Jumlah kerugian yang dialami semua pelabur itu mencecah RM21.89 juta manakala jumlah keseluruhan dana yang dipercayai dikumpul menerusi skim daripada 1,500 pelabur lain dianggarkan telah mencecah RM394 juta.
Menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim, skim itu dikendalikan oleh tujuh syarikat dengan lima daripadanya merupakan syarikat sendirian berhad dan dua lagi berdaftar sebagai Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT).
Skim itu telah dipasarkan menggunakan ejen pemasaran profesional seperti pengurus perhubungan bank dan pengurus dana unit amanah bagi menarik pelabur khususnya pesara syarikat minyak yang memiliki simpanan persaraan besar.
“Mangsa mendakwa mereka tertarik untuk melabur kerana syarikat terbabit mempamerkan dokumen Information Memorandum yang dihantar kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Namun, dokumen itu hanyalah satu lodgement dan bukan kelulusan SC. Lebih membimbangkan, skim ini sepatutnya ditawarkan hanya kepada pelabur berkelayakan (sophisticated clients) dengan pelaburan minimum RM250,000 tetapi didapati menerima pelaburan serendah RM50,000 yang jelas melanggar peraturan pelaburan,” kata Hishamuddin dalam satu sidang media hari ini.
Setelah aduan dibuat, Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuka kertas siasatan dan mendapati syarikat itu melanggar Seksyen 253 dan Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, serta didakwa bersama di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Akibatnya, syarikat tersebut dikenakan denda RM50 juta oleh BNM.
“Bagaimanapun, mangsa mendakwa hukuman itu tidak setimpal dengan jumlah kerugian besar yang dialami dan menuntut agar siasatan jenayah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu,” tambahnya.

Salah seorang pelabur, Rosman Zainodin kecewa kerana meskipun laporan telah dibuat kepada polis, kes tersebut hanya dirujuk kepada agensi lain (RLA) dan akhirnya diklasifikasikan sebagai telah selesai selepas syarikat membayar denda kepada BNM.
“Kami pelik bagaimana kes penipuan sebesar ini yang melibatkan ratusan juta ringgit tidak disiasat sebagai satu kesalahan jenayah.
“Kalau skandal seperti ini terus berlaku, akan ada lebih ramai scammer yang menipu pelabur, membayar denda kecil dan kemudian membuka skim baharu,” kata pesara berusia 59 tahun itu.

Seorang lagi pesara berusia 70 tahun, Ho King Min merayu Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk membuka semula kes dan mendakwa individu-individu di sebalik skim ini.
King Min bersama mangsa-mangsa yang lain mendesak agar undang-undang berkaitan jenayah kewangan diperketatkan, termasuk hukuman lebih berat terhadap pelaku skim pelaburan palsu.
“Kami berharap JSJK Bukit Aman akan mengkaji semula keputusan kes ini, membuka semula kertas siasatan dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.
“Hal ini kerana kejadian ini mencerminkan kelemahan dalam sistem pengawalseliaan kewangan sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan pelabur di Malaysia daripada menjadi mangsa penipuan berskala besar,” tambahnya. – MalaysiaGazette