KUALA LUMPUR – SN Legacy Sdn. Bhd. mengumumkan pelancaran single raya terbaharu penyanyi Umairah yang berjudul Tak Balik Raya yang telah dilancarkan di semua platform penstriman digital bermula semalam.
Tak Balik Raya menampilkan lirik mengenai dilema seseorang yang terpaksa menyambut hari raya berjauhan dengan keluarga kerana terpaksa bekerja.
Lagu ini bukan sahaja menyampaikan emosi rindu dan sayu tetapi menyuntik elemen kegembiraan dengan melodi yang segar.
Menurut Umairah, Tak Balik Raya menceritakan realiti sebenar yang dialami oleh anak rantau setiap kali menjelang musim perayaan.
Walaupun liriknya menyentuh hati tetapi ada nada memujuk dengan kemajuan teknologi terkini, anak-anak masih dapat menghubungi keluarga dengan pelbagai cara seperti menelefon dan sebagainya.
“Lagu ini mudah melekat di ingatan dan sejak saya mengeluarkan teaser atau petikan awal lagu ini, saya menerima komen positif dari warganet.
“Saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan kepada saya sebagai artis baharu dalam industri muzik,’’ ujar penyanyi yang bergelar juara kategori vokal (junior) di World Championships Of Performing Arts 2024 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Umairah atau mesra disapa Umai juga anak saudara kepada Siti Nurhaliza iaitu anak sulung kepada penyanyi, Siti Saerah.
Tak Balik Raya merupakan lagu dan lirik ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito.
“Saya tidak menunggu lama untuk bersetuju memilih dan merakamkan lagu ini. Muzik danemosi lagu ini juga sesuai dengan usia remaja saya,’’ tambah Umairah yang berusia 14 tahun.
Umairah juga bakal melancarkan video muzik Tak Balik Raya di saluran youtube rasmi Universal Music Malaysia bermula esok di mana video muzik itu diproduksi oleh Rio Films dan diarahkan oleh Rifaiee Rio.
Umairah turut menampilkan penari pengiring yang terdiri daripada rakan-rakannya di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur.
Bagi Umairah, dia mahu berkongsi bakat dan memberikan peluang kepada rakan-rakan yang berbakat dan belajar dalam bidang tari di sekolahnya.
Lagu Tak Balik Raya mendapat kepercayaan pihak Universal Music Sdn.Bhd sebagai pengedar yang turut membantu mempromosikan lagu ini terutamanya pada bulan Ramadan dan Syawal. – MalaysiaGazette
