KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Titiwangsa menyokong usul cadangan mengangkat Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Abdul Kamil Munim sebagai Ketua AMK Malaysia pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini.
Menerusi kenyataan, AMK Cabang Titiwangsa memaklumkan, usul tersebut telah mendapat perhatian dan sokongan daripada anggota cabang berkenaan yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Angkatan Muda Keadilan Cabang (MATAMKC) Titiwangsa baru-baru ini.
Katanya, sokongan adalah bagi mencerminkan keyakinan AMK Titiwangsa terhadap kepimpinan Kamil dalam menerajui sayap pemuda parti ke arah hala tuju yang lebih progresif dan inklusif.
“AMK Titiwangsa percaya kepimpinan yang dinamik dan berprinsip amat diperlukan untuk memperkukuh perjuangan anak muda dalam memperjuangkan dasar-dasar yang adil dan progresif.
“Dengan pengalaman serta dedikasi saudara Kamil Munim dalam gerakan anak muda, kami yakin beliau mampu membawa perubahan positif serta memperkasakan peranan AMK di peringkat nasional,” katanya.
Tambah kenyataan itu, AMK Titiwangsa berpendirian kepimpinan anak muda dalam parti bukan sekadar mengisi posisi tetapi harus dipimpin oleh individu yang benar-benar memahami denyut nadi serta keperluan golongan belia.
Katanya, Kamil telah terbukti sebagai seorang pemimpin muda yang mempunyai pengalaman, daya kepimpinan yang tinggi serta komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memperjuangkan isu-isu rakyat khususnya yang melibatkan kebajikan dan masa depan anak muda.
“Sehubungan itu, AMK Titiwangsa menzahirkan sokongan penuh kepada Saudara Kamil Munim sebagai Ketua AMK Malaysia dan menyeru agar seluruh cabang AMK turut bersama dalam menyokong kepimpinan beliau bagi memastikan kesinambungan perjuangan dan masa depan anak muda yang lebih cerah,” katanya. – MalaysiaGazette