KUALA LUMPUR – Zamri Vinoth telah menghubungi pembantu peribadi (PA) Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkaitan debat membabitkan upacara kavadi ketika sambutan Thaipusam.
Pendakwah bebas itu memohon tajuk, format dan beberapa perkara berkaitan supaya debat berlangsung secara harmoni.
Katanya, perdebatan itu boleh membawa kepada persefahaman sekali gus mengelakkan pertelingkahan berlanjutan antara kedua-dua pihak.
“Maaf lambat sikit keluar video menerima sahutan dan cabaran Datuk Seri M Saravanan, maklumlah bulan puasakan. Semoga Allah terima amalan kita semua
“Alhamdulilah pihak kami telah pun menghubungi PA Datuk Seri Saravanan, Encik Aru untuk menentukan tajuk, format dan perkara-perkara yang berkaitan agar debat atau dialog ini dapat dijalankan secara harmoni dengan semangat mencari titik pertemuan dan bukannya permusuhan.
“Tetapi PA beliau tidak dapat memberikan sebarang kata putus kerana bos beliau berada di Australia. Semoga kita belajar berpijak di bumi yang nyata tanpa prejudis, bermain sentimen dan play victim,” katanya dalam kenyataan.
Saravanan dalam kenyataan hari ini menetapkan tarikh debat pada 23 Mac berikutan kenyataan kontroversi pendakwah bebas itu yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Ahli Parlimen Tapah itu berkata, debat tersebut akan dianjurkan oleh Dewan Bahasa Tamil Malaysia.
Saravanan menambah, Zamri bebas memilih mana-mana lokasi di Kuala Lumpur untuk acara debat tersebut.
Pendakwah bebas itu semalam bersetuju untuk berdebat dengan Saravanan selepas dicabar oleh Timbalan Presiden MIC itu.
Saravanan mencabar Zamri untuk berdebat melalui video, di mana dia turut menggesa pihak berkuasa untuk menangkap Zamri di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menyifatkan Zamri sebagai “tidak berakal,” Saravanan menggesa parti politik, pengurusan kuil, pertubuhan agama, NGO, dan individu untuk membuat laporan polis terhadapnya.-MalaysiaGazette