KUALA LUMPUR – Dua individu maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Persiaran Senawang 1 dekat Persimpangan lampu isyarat Matahari Height menghala ke Paroi, Negeri Sembilan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, insiden yang berlaku pada pukul 8.30 malam melibatkan remaja berusia 18 tahun yang merupakan pemandu kereta jenis Honda Jazz bersama seorang penumpang berusia 17 tahun.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu remaja terbabit dari arah Senawang menuju ke Paroi gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat yang ketika itu warna merah lalu melanggar dua buah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
“Akibat kemalangan ini, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala pemandu dan penumpang kereta Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua mayat mangsa penunggang dan pembonceng motosikal telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Sehubungan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor G Sankar di talian 014-6000 353 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengankutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – MalaysiaGazette