Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita selepas didakwa menghalang pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas dalam dua kejadian berasingan di ibu kota semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, kejadian pertama berlaku sekitar pukul 11.30 pagi di Jalan Benteng di sini apabila seorang pegawai DBKL yang bertugas cuba mengalihkan sebuah trak makanan (food truck) yang menghalang laluan.

“Tindakan itu menyebabkan pemilik trak berkenaan iaitu seorang wanita tempatan berusia 30 tahun bertindak menghalang tugas pegawai berkenaan sehingga berlaku pergelutan.

“Pegawai itu mengalami kecederaan akibat digigit suspek sebelum wanita tersebut ditahan dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kedua sekitar pukul 10.08 malam di Masjid India di mana sekumpulan penjaja didakwa bertindak agresif terhadap pegawai DBKL yang sedang membuat rondaan di kawasan berkenaan.

“Ketika cuba menyuraikan kekecohan, seorang pegawai DBKL telah dirempuh secara kasar sehingga terjatuh. Susulan itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 15 hingga 39 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut dan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah,” tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, di mana seseorang itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, kes pertama turut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan reman selama dua hari sehingga 7 Mac terhadap wanita yang ditahan dalam kejadian pertama manakala tiga lelaki dalam kes kedua direman selama tiga hari hingga 8 Mac.

Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan tidak menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas kerana tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melanggar undang-undang. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua penguat kuasa dicederakan penjaja, DBKL buat laporan polis

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here