KUALA LUMPUR- Projek Kebun Kerang yang diperkenalkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia berjaya meningkatkan taraf ekonomi masyarakat pesisir.
Mengambil contoh Kebun Kerang di Lekir, Perak, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, projek berkenaan berjaya membantu mengurangkan kadar peserta dalam kategori B40 daripada 87.3 peratus kepada 67.3 peratus.
Manakala pendapatan golongan M40 meningkat daripada 8.9% kepada 27.4%.
“Melalui inisiatif ini, kawasan dataran berlumpur yang sedia ada dimanfaatkan secara sistematik dan teratur untuk penternakan kerang, seterusnya memastikan bekalan yang mampan bagi memenuhi permintaan pasaran.
“Kami komited untuk terus menyokong penternak dengan latihan dan teknologi moden bagi memastikan industri ini berkembang secara lestari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, data itu membuktikan akuakultur bukan sahaja menjamin bekalan kerang yang mampan tetapi juga memberi impak sosio-ekonomi yang ketara kepada komuniti nelayan.
Katanya, walaupun industri akuakultur kerang menunjukkan potensi pertumbuhan yang memberangsangkan, cabaran seperti ketidakseimbangan antara permintaan dan pengeluaran kekal menjadi isu utama.
Peningkatan permintaan yang tidak seiring dengan kadar pengeluaran boleh mencetuskan inflasi harga serta menggalakkan aktiviti penangkapan berlebihan yang tidak mampan
Oleh itu, usaha berterusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia dalam menyediakan sokongan teknikal kepada penternak melalui latihan dan program peningkatan kapasiti amat penting bagi memastikan kelangsungan industri ini dalam jangka masa panjang.
Sebagai langkah strategik, Jabatan Perikanan terus memperkukuh pembangunan industri ini melalui penggunaan teknologi moden dalam pemantauan stok, pengurusan air, dan sistem pembiakan bagi memastikan produktiviti optimum serta mengurangkan kesan terhadap biodiversiti semula jadi. Penyelidikan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti kawasan berpotensi untuk memperluaskan lagi projek akuakultur kerang.
Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi berkaitan turut diperkukuhkan bagi memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan kewangan untuk penternak dapat disediakan secara menyeluruh.
“Jabatan Perikanan Malaysia yakin bahawa industri akuakultur kerang akan terus berkembang secara lestari, memenuhi permintaan pasaran serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette