BANGI – Pimpinan parti politik dan masyarakat diingatkan supaya tidak menunggang isu agama demi kepentingan peribadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau juga tidak mahu mana-mana pihak menjadikan isu agama bagi manfaat politik masing-masing.
“Pimpinan mana-mana parti ataupun pimpinan masyarakat, janganlah tunggang isu ini untuk kepentingan peribadi. Kerana kalau kita teruskan, ia akan membawa, membakar dan musnahkan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang di sini hari ini.
Anwar berkata, beliau mahu supaya semua pihak menghormati bulan Ramadan yang sedang dilalui ketika ini.
Tegasnya, setiap isu berkaitan agama akan diselesaikan mengikut undang-undang.
Kerajaan tentunya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang menghina agama apatah lagi Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai agama dan kaum.
“Islam adalah agama Persekutuan dan kita harus martabatkan selain menjaga keharmoniannya. Jadi, saya hendak nasihat dan memberi pandangan supaya jangan gunakan ini sebagai senjata politik kerana ia akan membakar diri,” ujarnya.
Bagaimanapun, Anwar tidak merujuk secara khusus pemimpin yang dimaksudkannya.
Sebelum ini, timbul beberapa isu dan ketegangan agama dilaporkan media termasuk kes membabitkan penyampai radio dan beberapa kes serta kandungan tular mengenai penghinaan terhadap agama Islam.
Bagaimanapun terbaharu polemik agama sekali lagi tercetus apabila pendakwah bebas, Zamri Vinoth membuat kenyataan kontroversi dengan membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.
Susulan itu, Ahli Parlimen Tapah yang juga Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan membidas tindakan tersebut sambil menggesa pihak berkuasa menangkap Zamri di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer turut mengecam kenyataan Zamri dengan Rayer telah membuat laporan polis terhadapnya.
Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang sebelum ini memberi amaran keras kepada semua pihak agar tidak mengulangi perbuatan menyebarkan kenyataan berbentuk provokasi, penghinaan dan mempersendakan agama di platform media sosial. – MalaysiaGazette