KUALA LUMPUR – Syarikat pembungkus minyak masak kemasan botol diarahkan supaya mengembalikan pengeluaran pada kadar yang mencukupi bagi keperluan semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia merupakan langkah intervensi serta merta dalam usaha memastikan bekalan di pasaran stabil.

Katanya, dalam langkah itu, kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak.

“KPDN akan memastikan arahan dan keputusan hari ini dilaksanakan untuk memastikan syarikat terlibat mula meningkatkan semula kadar proses pengeluaran minyak kemasan botol masing-masing secara serta merta untuk membolehkan kembali stabil segera dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu Armizan berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mendapat arahan tersebut susulan sesi taklimat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai gangguan bekalan minyak masak sawit tulen kemasan botol di pasaran, pagi tadi.

Menurut beliau, kementerian itu akan mempertingkatkan penguatkuasaan untuk memastikan tidak ada aktiviti penyorokan dan penyelewengan semua jenis bekalan minyak masak.

Jelasnya, antara punca utama berlaku gangguan bekalan adalah
kenaikan kos pengeluaran berikutan harga minyak sawit mentah dunia (MSM) sejak dua tahun lalu.

Bagi dua bulan pertama tahun ini harga purata MSM adalah RM4,672.50 pada Januari dan RM4,759.00 pada Februari.

Armizan berkata, berikutan itu syarikat pembungkus minyak masak botol terpaksa mengurangkan pengeluaran untuk mengawal kos pengeluaran.

Katanya, ini kerana syarikat terbabit terikat dengan perintah penjualan harga kawalan maksimum minyak kemasan botol yang berkuatkuasa.

“Sebagai contoh, perintah tersebut mewajibkan penjualan pada peringkat runcit minyak kemasan botol 5 kilogram adalah pada kadar RM30.90 berbanding harga pasaran berdasarkan kadar MSM dunia iaitu RM36.16,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here