Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan juadah berbuka puasa kepada lebih 800 orang jemaah pada setiap hari Rabu sepanjang bulan Ramadan ini.

SERDANG – Pusat Islam, Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan juadah berbuka puasa kepada lebih 800 orang jemaah pada setiap hari Rabu sepanjang bulan Ramadan ini.

Juadah berbuka puasa itu disediakan secara gotong-royong dengan bantuan sukarelawan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM bermula sejak pukul 12 tengah hari.

Pegawai Psikologi, HSAAS UPM, Rafidah Sadarudin, seramai 16 orang kakitangan terlibat dari HSAAS UPM dengan kerja-kerja penyediaan bahan, memasak sehinggalah menghidang juadah berbuka.

“Alhamdulillah sukarelawan kami terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat mengambil tanggungjawab menyediakan juadah berbuka. Usaha seumpama itu melambangkan keutuhan perpaduan dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.

“Inilah peluang terbaik kita berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan. Kita dapat tunjukkan rasa prihatin dengan hati yang ikhlas,” jelasnya.

Juadah berbuka puasa di Masjid UPM ini disediakan secara gotong- royong bersama Pusat Islam dan sukarelawan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), UPM.

Sementara itu, Noor Dina Mohd Khairudin, 34, berasa sangat gembira dan teruja kerana inilah pengalaman pertama keluarganya mengikuti tradisi berbuka puasa berkonsepkan makan dalam talam.

“Di rumah kami sekeluarga menikmati juadah berbuka puasa menggunakan pinggan di atas meja. Tetapi tradisi berbuka berkonsepkan makan dalam talam ini sudah tidak lagi diamalkan.

“Berbuka dalam talam juga dapat membantu merapatkan ukhwah kita sesama umat Islam yang lain ketika berbuka puasa di masjid,’’ ujarnya.

Pegawai Pertanian UPM, Khairul Azmi Za’ba,38, pula mengucapkan terima kasih kepada Pusat Islam UPM kerana menyediakan ruang dan juadah untuk berbuka puasa di sini.

“Tradisi berbuka puasa berkonsepkan makan dalam talam ini membuatkan anak-anak saya tidak sabar untuk ke masjid. Mereka sangat suka tradisi ini kerana ramai kawan-kawan dan paling penting kami dapat tunaikan solat tarawih bersama-sama selepas berbuka puasa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here