Pesakit kanser, Che Roslina Che Jusoh, 51, bercakap ketika ditemubual pada majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK) bersama OKU dan pesakit kanser di D’Tandoor Ayer@8, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 06 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Kemeriahan Aidilfitri yang bakal diraikan tahun ini memberi makna  berbeza bagi tiga individu yang berjuang melawan kanser kerana bagi mereka setiap detik bersama keluarga lebih berharga daripada sekadar persiapan baju raya atau hidangan juadah.

Biarpun menghadapi ujian getir ini, mereka tetap bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menyambut Syawal bersama-sama insan tersayang.

Bagi Che Ruslina Che Jusoh, 58, hidupnya kini berubah sepenuhnya selepas didiagnosis kanser payudara tahap tiga pada Jun tahun lalu.

Che Roslina Che Jusoh

Beliau yang sedang cuti selama dua tahun, kini masih dalam fasa pemulihan selepas menjalani mastektomi akibat kanser payudara tahap tiga. 

Dari seorang yang sibuk bekerja, beliau kini banyak menghabiskan masa di rumah untuk rawatan dan pemulihan.

“Dulu saya kerja tanpa henti, sampai tidur pun tak cukup. 

“Tapi bila Allah bagi ujian ini, saya sedar sebenarnya ini peluang untuk saya berehat dan lebih dekat denganNya,” katanya ketika dalam Majlis Iftar anjuran Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK) bersama OKU dan pesakit kanserdi D’tandoor, Putrajaya, hari ini.

Perjalanan rawatan Che Ruslina tidak mudah kerana luka pembedahan masih belum sembuh sepenuhnya dan memerlukan pemeriksaan berkala di hospital. 

“Dalam keadaan ini, Aidilfitri juga berbeza kerana saya perlu pulang awal ke kampung halaman di Terengganu bagi mengelakkan kepenatan yang melampau.

“Baju raya anak-anak semua saya beli secara dalam talian. Saya tak mampu nak bersesak di luar.

“Raya kali ini sederhana, tapi asalkan dapat bersama mak dan keluarga, itu sudah cukup,” tambahnya dengan senyuman kecil.

Mazura Mahat

Seorang pesakit tumor otak, Mazura Mahat pula menyifatkan Syawal tahun ini akan disambut dengan penuh kesyukuran.

Sejak didiagnosis pada tahun 2022, beliau telah menjalani pembedahan besar dan kini masih dalam pemantauan doktor.

“Kos rawatan bukan murah, menelan belanja yang besar. Tapi saya tak pernah nak kira semua itu.

“Kalau difikirkan, kita akan rasa tertekan. Saya anggap semua ini pengorbanan untuk diri sendiri dan keluarga,” kata wanita berusia 41 tahun itu yang masih menjalani MRI dan CT Scan berkala.

Bagi Mazura, Aidilfitri tahun ini sangat sederhana, mana baju raya yang masih elok akan dipakai semula, dan segala persiapan dibuat seadanya.

“Saya balik ke Kedah sehari sebelum raya. Tiada yang berlebihan, yang penting dapat berkumpul dengan keluarga. Itu sudah lebih dari cukup,” tambahnya.

Mohamed Hanafiah Abdul Malek

Berbeza pula dengan pesakit kanser lymphoma, Mohamed Hanafiah Abdul Malek, 51 yang diberi tempoh hanya setahun oleh doktor selepas didiagnosis pada 2017.

Namun, dengan rawatan dan doa yang tidak putus, beliau masih bertahan hingga ke hari ini.

“Bila doktor sahkan saya ada kanser, saya hanya mampu beristighfar. Saya serahkan semuanya kepada Allah. Tak panik, tak takut, sebab saya  yakin, siapa yang tenang dia akan menang,” katanya.

Beliau yang telah melalui pelbagai rawatan termasuk kimoterapi dan pembedahan, kini hanya menjalani rawatan susulan di hospital.

Kos rawatannya mencecah hampir RM800,000, namun beliau bersyukur kerana bantuan dari Institut Kanser Negara dapat mengurangkan beban tersebut.

Bagi Hanafiah, Aidilfitri tahun ini bukan tentang baju baru atau persiapan meriah. Dia lebih memilih untuk berehat dan menikmati masa bersama keluarga.

“Tahun ni saya lebih banyak berehat. Raya pertama di Gombak, kedua di Negeri Sembilan, ketiga di Kedah dan Perak, dan akhirnya balik ke Kuala Lumpur. 

“Aidilfitri bukan lagi tentang kemewahan atau kesempurnaan. Yang penting, saya masih diberi peluang untuk meraikan raya bersama keluarga,” tambahnya penuh kesyukuran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here