KUALA LUMPUR – Seorang pemandu p-hailing hari ini didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh anak asuhan isterinya berusia lima tahun pada 3 Mac lalu.
Walaubagaimanapun tiada pengakuan daripada tertuduh, Muhammad Syafiq Daniel Osman berikutan kes berkenaan di bawah bidang Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki berusia 26 tahun itu didakwa membunuh Muhammad Shakir Firman Mohammad Firdaus antara jam 1.15 hingga 7.15 pagi di salah sebuah bilik di KIP Hotel Kuala Lumpur.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman mati.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei sebagai prosiding sebutan kes.
Dalam masa yang sama, isteri lelaki itu Nur Nilam Kamaruddin,26 turut dituduh secara berasingan di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Ibu tiga anak yang juga mengandung dua bulan itu dituduh menganiaya kanak-kanak tersebut sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Walaubagaimanapun, Nur Nilam mengaku tidak bersalah atas tuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Hakim, Siti Shakirah Mohtarudin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada wanita tersebut.
Selain itu, wanita tersebut turut diarahkan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.
Sebagai rekod, pasangan suami isteri tersebut direman empat hari sebelum ini kerana disyaki mendera Muhammad Shakir Firman Mohammad Firdaus yang berada dalam asuhan mereka sehingga meninggal dunia.
Sebelum ini polis dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati mangsa dijaga pengasuh wanita terbabit sejak 20 Januari lalu dengan kadar upah RM800 sebulan.
Timbalan Pendakwa Raya bagi kes berkenaan adalah Joshua Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan.
Sebutan kes ditetapkan 9 April ini. -MalaysiaGazette