Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun menunjukkan peta DUN Ayer Kuning pada sidang media Pilihanraya Kecil N48 Ayer Kuning, di Menara SPR, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 07 MAC 2025

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR hari ini di bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Ayer Kuning.

Kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu.

Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka berkenaan hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan berkenaan berlaku.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Kerusi DUN Ayer Kuning menjadi kubu kuat BN sejak lapan penggal lalu.

Ramlan berkata, secara keseluruhan PRK Kuala Kubu Baharu memerlukan peruntukan RM2.5 juta.

Menurutnya, seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu tiga penolong pegawai pengurus bagi mengendalikan proses PRK berkenaan.

Beliau berkata, satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya juga ditubuhkan yang dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan calon bertanding bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Menurut Ramlan, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 12 April.

Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Ayer Kuning adalah sebanyak 31,897 orang pemilih yang terdiri daripada 31,315 orang pengundi biasa dan 582 orang anggota
Polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Ayer Kuning ialah Dewan Merdeka Tapah, Perak.

“19 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 63 tempat mengundi/saluran dan dua pusat mengundi awal
yang mengandungi tiga tempat mengundi/saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 21 buah dengan 66 tempat mengundi/saluran,” katanya.

Pengundi boleh membuat semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/7218/7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak bermula 25 Mac.

SPR menyeru bakal calon yang bertanding dalam PRK DUN Ayer Kuning supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon bagi memudahkan proses penamaan calon.

Ramlan berkata, bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus mesti dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC.

SPR dalam pada itu turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRK tersebut bermula dari hari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan.

Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperoleh daripada portal rasmi SPR di www.spr.gov.my bermula hari ini dan tarikh tutup permohonan pada – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast