Dr. Mohd Izani Mohd Zain dan Pengurusan HEPA menyantuni anak-anak yatim Darul Falah dalam Majlis Iftar Kasih.

MARANG – Seramai 116 anak yatim dari Asrama Rumah Anak-anak Yatim Darul Falah diraikan dalam Program Iftar Kasih Darul Falah, anjuran Jawatankuasa Perwakilan Luar Kampus (JPLK), Kolej Kediaman, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti
Malaysia Terengganu (UMT).

Penganjuran itu bertujuan memupuk nilai kasih sayang, mengeratkan hubungan antara mahasiswa luar kampus dengan anak yatim dan komuniti setempat serta menerapkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar universiti.

Program yang berlangsung di Asrama Darul Falah, Bukit Payong itu turut dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk pengurusan dan kakitangan HEPA UMT, wakil Persatuan Kebajikan Islam (PERKASA) Terengganu, tenaga pengajar asrama serta barisan sukarelawan mahasiswa daripada JPLK dan Kelab Perwakilan Luar Kampus (KPLK).

Dalam ucapan perasmian, Timbalan Naib Canselor HEPA UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain menekankan universiti bukan sekadar pusat kecemerlangan akademik tetapi juga bertanggungjawab dalam membangunkan komuniti.

“Kehadiran kami di sini bukan sekadar mengisi ruang waktu berbuka puasa, tetapi lebih dari itu, ia melambangkan nilai kasih sayang, kebersamaan, serta kecaknaan kami terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka yang memerlukan.

“Program seperti ini bukan sahaja membentuk mahasiswa yang bertanggungjawab, tetapi juga memastikan masyarakat sekitar mendapat manfaatnya,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan membentuk mahasiswa yang cakna terhadap masyarakat dan mengaplikasikan gagasan yang diperkenalkan dalam Perutusan Timbalan Naib Canselor HEPA 2025 pada 27 Februari lalu, iaitu usaha menyemai darmabakti mahasiswa untuk membentuk mahasiswa idaman.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pertandingan azan dan Dai’e, solat berjemaah serta majlis berbuka puasa yang disusuli dengan sesi ramah mesra antara mahasiswa dan anak-anak yatim.

Aktiviti itu bukan sahaja membolehkan para pelajar mengasah kemahiran kepimpinan dan komunikasi, tetapi juga memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk menunjukkan bakat mereka dalam suasana yang penuh kasih sayang dan sokongan.

“Kami ingin anak-anak di Darul Falah tahu bahawa mereka tidak pernah bersendirian. Universiti Malaysia Terengganu dan seluruh komuniti sentiasa prihatin dan akan terus berusaha memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya,” ujarnya.

Penganjuran program itu turut mendapat sokongan daripada syarikat dan individu pemurah yang menyalurkan tajaan termasuk Pancaran Aqu Bina Enterprise dan Mam Padu Trading.

Sokongan itu membuktikan kepentingan kolaborasi antara institusi pendidikan badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.

Dr. Izani turut menyeru agar semangat kesukarelawanan itu terus disemai dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.

“Mungkin hari ini kita berada dalam keadaan yang baik dan selesa, tetapi kita tidak boleh melupakan mereka yang memerlukan bantuan. Ramadan ini adalah masa terbaik untuk kita meningkatkan amalan kebajikan dan memperbanyakkan sedekah serta infak ke jalan yang
baik,” ujarnya.

Inisiatif strategik itu bukan sekadar program menyantuni semata, malah mengekalkan jalinan hubungan berpanjangan antara mahasiswa dan komuniti setempat.

Tambah Dr. Izani, pihaknya merancang untuk membawa anak-anak yatim ke kampus UMT bagi memberikan pendedahan awal mengenai kehidupan universiti, sekali gus memberi inspirasi kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertiari.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here