Mohammad Afiq Akhmal Nudin dan anaknya ketika ditemui di rumah ibu-bapanya di Sungai Karang, di sini hari ini

KUANTAN – Pemergian Norshamira Zainal, 37 amat dirasakan keluarganya pada bulan Ramadan ini, lebih-lebih lagi ketika menyediakan juadah untuk berbuka puasa.

Menurut suaminya, Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, ini merupakan kali pertama dia dan anak mereka berbuka puasa tanpa arwah sejak mereka berkahwin lima tahun lepas.

“Tahun ni patutnya tahun kelima kami sambut Ramadan bersama. Memang rasa lain sebab puasa pertama tanpa arwah. Sebab setiap hari pertama Ramadan memang berbuka dengan isteri dan anak.

“Arwah berniaga. Jadi, moment paling best adalah ketika tolong dia memasak setiap petang. Kalau ada barang memasak yang tak cukup, arwah akan suruh saya pergi beli,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu-bapanya di Sungai Karang, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Mohammad Afiq berkata, kini dia dan anaknya tidak lagi tinggal di rumah mereka di Sungai Soi dan berpindah ke rumah kedua ibu-bapa nya, di sini, atas nasihat mereka.

Ini kerana dia sentiasa terbayang-bayang kenangan bersama isteri di rumah itu dan ia memberi kesan amat mendalam kepadanya.

“Tahun ni pun akan beraya di sini lah. Atau beraya rumah mertua di Keratong, Muadzam Shah,” katanya yang bekerja sebagai mekanik sebuah syarikat pengedar kenderaan di Indera Mahkota, di sini.

Dalam pada itu, Mohammad Afiq memberitahu, arwah Norshamira sempat menghantar tempahan kain pasang untuk dibuat baju raya, namun dia belum mengambil baju tersebut daripada tukang jahit.

Katanya, mereka tiga beranak sepatutnya memakai baju raya sedondon berwarna hijau zaitun menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini, namun malangnya hasrat arwah isterinya itu tidak kesampaian.

Sementara itu, prihatin dengan nasib mereka dua beranak susulan tragedi menimpa Norshamira pada 13 Februari lepas, hari ini Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang menyantuni mereka sekeluarga.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang (kiri) dan Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Mohammad Afiq Akhmal Nudin di rumah ibu-bapanya di Sungai Karang, di sini hari ini

Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman memberitahu, Mohammad Afiq dan anaknya layak menerima bantuan kewangan bulanan sebanyak RM1,085.41 selain Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM3,000.

“Memang tak jangka langsung dapat faedah daripada PERKESO hari ini. Sebab tak tahu pun boleh dapat. Memang bersyukur lah,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Lelaki dituduh bunuh Norshamira

Reman Suspek Kes Bunuh Peniaga Wanita Disambung #MGFlash

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here