Pelajar dari Kolej Islam Sultan Alam Shah tekun membaca ayat suci Al-Quran pada Hari Nuzul Quran ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang. Foto MOHD ADZLAN, 28 MAC 2024.

Oleh: Muhammad Syafiq Mohd Fuad

Ramadan merupakan bulan yang mulia dan agung di sisi Allah SWT. Hal demikian, Ia merupakan tetamu yang membawa 1001 keberkahan, kerahmatan dan keampunan dari Allah SWT kepada kita.  Selain itu, bulan Ramadan juga terdapat tiga fasa yang istimewa iaitu fasa kerahmatan, fasa keampunan dan fasa pembebasan dari neraka Allah SWT.

Sebagai hamba yang bertaqwa kita digalakkan untuk menjalani harian kita dengan melakukan amalan-amalan kebaikan mengikut fasa-fasa tertentu. Hakikat ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183:”Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa“. Lantasnya, Apakah pendekatan kita untuk mengisi masa dalam fasa kemaafan agar kita  berpeluang untuk meningkatkan ketaqwaan serta meraih keampunan dari Allah SWT?

Sebagai pengenalan, fasa keampunan merupakan fasa yang sangat sinonim dengan bulan Ramadhan kerana umat Islam digalakkan untuk sentiasa beristighfar dan berdoa kepada Allah SWT dalam keadaan berpuasa supaya dapat menjaga hubungan dengan Allah SWT iaitu ‘hablun minallah’. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman kepada Allah dan mengharapkan pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lampau”. (HR Bukhari dan Muslim).

Sehubungan dengan itu, para ulama telah memberi panduan tentang pendekatan kita dengan Allah SWT  dengan cara bertaubat kepadanya. Ia perlu melakukan solat taubat dan berdoa kepada Allah SWT. Seterusnya, seorang hamba wajib menyesali dengan segala perbuatan dosa yang telah dilakukannya dan berjanji untuk tidak mengulanginya kembali dengan sungguh-sungguh. Jelaslah bahawa, Allah SWT adalah tempat untuk kita mengadu dan meminta keampunan supaya kita mendapat keberkatan dan keampunan daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Selanjutnya, fasa keampunan juga perlu dipandang dalam hubungan dengan sesama manusia dan makhluk yang lain iaitu ‘hablun minannas’ kerana keampunan sesama makhluk itu tidak dapat diampuni oleh Allah SWT. Hal berikut, sebagai seorang muslim digalakkan untuk memenuhi segala hak dan kewajipan sesama manusia dan makhluk yang lain supaya kita dapat menjaga hubungan silaturahim dan dapat meraih keampunan dengan keberkatan di dalam bulan puasa bukan sahaja pada waktu lebaran.

Oleh demikian itu, para ulama menyebutkan kaedah untuk memperbaiki hubungan sesama makhluk dengan menyesali sepenuhnya perbuatan dosa yang telah dilakukan dan berjanji untuk tidak mengulanginya kembali dengan sungguh-sungguh. Tambahan pula, kita dapat mengubat hati mereka dengan memberi hadiah atau buah tangan ketika menziarahi mereka di bulan Ramadan.

Sabda Nabi Muhammad SAW “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturahim sesama manusia” (HR Ahmad). Tuntasnya, fasa keampunan di bulan Ramadhan amatlah penting bagi umat Islam untuk merealisasikan ibadah di bulan puasa yang sempurna dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Selain itu, fasa keampunan juga perlu dihasilkan dengan amalan-amalan yang diredhai oleh Allah SWT seperti beristighfar kepadanya. Hal tersebut berdasarkan keteladanan Nabi Muhammad SAW yang telah sentiasa beristighfar kepada Allah SWT sebanyak 70 kali dalam sehari seperti dalam sebuah hadis daripada Nabi Muhammad SAW bersabda “Demi Allah! Sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada Allah lebih dari tujuh puluh kali dalam sehari}”. (HR Bukhari dan Muslim).

Hal ini menunjukkan baginda sering meminta ampun kepada Allah SWT setiap hari  walaupun baginda adalah seorang yang maksum (terpelihara daripada dosa)  Ini adalah satu teladan yang kita patut dicontohi dalam kehidupan kita sebagai seorang yang beriman ketika menyambut bulan Ramadhan.

Selepas itu, Nabi Muhammad SAW menggalakkan kepada kita dengan berdoa meminta keampunan kepada Allah SWT sepanjang di bulan Ramadan. Oleh yang demikian, doa yang sering dibaca saban tahun di bulan Ramadan oleh umat Islam yang bermaksud “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon keredhaanMu dan syurga, serta kami berlindung dengan-Mu daripada kemurkaan-Mu dan api neraka. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Maha Mulia, Engkau menyukai kemaafan, maka maafkanlah kami.” Nyatalah, Doa itu merupakan satu pendekatan kita dengan Allah SWT untuk meraih keampunan dalam fasa kedua yang sangat istimewa dalam bulan Ramadhan.

Di samping itu, fasa keampunan menjadi satu keutamaan di bulan Ramadan kerana terdapat 1001 hikmah yang dapat dirungkaikan oleh para ulama. Antaranya, seorang umat Islam yang meminta ampun daripada Allah SWT akan mendapat keredhaan Allah SWT dengan masuk ke syurganya dan mendapat perlindungan Allah SWT dari seksaan api neraka.

Hal demikian, Allah SWT telah berfirman dalam surah az-Zumar, ayat 53: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani“. Tak diragukan lagi bahawa, Allah SWT sentiasa menunggu hambanya dan memberi semangat kepada hambanya agar tidak berputus asa untuk meminta ampun kepadanya.

Dengan demikian, fasa keampunan merupakan satu fasa yang perlu diambil perhatian oleh setiap umat Islam kerana ia adalah satu peluang kepada kita untuk membetulkan kesilapan hubungan kita dengan Allah SWT ataupun hubungan kita dengan sesama manusia dan juga makhluk yang lain. Sabda Rasulullah SAW; “Setiap anak Adam adalah bersalah dan sebaik-baiknya orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang mahu bertaubat pada Allah”  (HR Tarmizi). 

Hakikatnya, sebagai umat Islam sewajarnya sentiasa berusaha untuk memohon keampunan daripada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Maka dari itu, kita dapat merealisasikan pendekatan kita dengan Allah SWT dalam fasa keampunan untuk mendapat ketenangan dan kedamaian dalam jiwa di dalam bulan Ramadan. 

Penulis adalah mahasiswa tahun akhir, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here