KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong gagal mengemukakan keterangan tambahan untuk digunakan dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan atas sabitan merogol pembantu rumahnya.
Rayuan di mahkamah tertinggi negara itu dijadual pendengarannya pada 17 Mac ini.
Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak menolak permohonan pembelaan atas alasan keterangan yang dikemukakan pada 5 Februari lalu tidak wajar diterima kerana bersifat dengar cakap.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed berpuas hati, keterangan tambahan itu tidak boleh diberi pertimbangan kerana wujud faktor-faktor lain yang menyebabkan kesahihannya diragui.
Oleh yang demikian, beliau berpandangan sabitan terhadap tertuduh sebelum ini wajar dikekalkan, namun menyerahkannya kepada kebijaksanaan panel hakim Mahkamah Persekutuan yang akan mendengar rayuan Paul.
“Jika sekalipun keterangan tambahan yang dikemukakan berkenaan kes itu relevan dengan OKT (orang kena tuduh), namun undang-undang adalah mantap bahawa keterangan dengar cakap tidak boleh diterima sebagai keterangan dalam perbicaraan kecuali jika ia memenuhi syarat keterangan yang dibenarkan oleh undang-undang.
“Oleh yang demikian, mahkamah ini mendapati keterangan tambahan itu adalah keterangan dengar cakap dan pada masa sama tidak digariskan di bawah Seksyen 32(1) Akta Keterangan 1950.
“Ia hanyalah pandangan Mahkamah Tinggi, terpulang kepada Mahkamah Persekutuan sama ada untuk menerima atau menolaknya,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.
Dalam prosiding hari ini, pasukan pembelaan diwakili Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir manakala pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu’aini Khalifah.
Pada 5 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Ipoh diberitahu bahawa pembantu rumah yang menjadi mangsa rogol dalam kes itu telah mengaku memberi keterangan palsu sebagai alasan untuk pulang ke negara asalnya di Indonesia.
Perkara itu diberitahu saksi pembelaan tambahan, Pathurrahman, 58, seorang peguam yang beralamat di Sumbawa, Indonesia bahawa wanita tersebut datang ke pejabatnya untuk mendapatkan nasihat undang-undang.
Pada 12 November tahun lalu, Mahkamah Persekutuan kemudian membenarkan permohonan bekas wakil rakyat DAP berusia 54 tahun itu untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan kes itu.
Panel tiga hakim membenarkan lima dokumen dikemukakan sebagai bukti tambahan dengan menyifatkannya penting kerana ia kelihatan menunjukkan bahawa mangsa mungkin telah memberikan keterangan yang tidak benar semasa perbicaraan terhadap Paul.
Pada 1 Mac tahun lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 mengekalkan sabitan salah terhadap Paul namun meminda hukuman 13 tahun kepada lapan tahun dan hukuman sebat dua kali dikekalkan.
Pelaksanaan hukuman bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul yang juga bekas Exco Kerajaan Perak bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia di dalam bilik rumahnya di Ipoh antara jam 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019. – MalaysiaGazette