KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menyangkal dakwaan bahawa wujud dua kem dalam parti itu ketika ini.
Sebaliknya beliau berkata, keputusan pemilihan Bersatu tahun lalu, jelas menunjukkan proses peralihan kuasa dalam parti tersebut berlaku dengan sempurna sama seperti formula yang dicadangkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, ujar beliau, Muhyiddin juga sebulat suara diterima dan disokong seluruh ahli Bersatu untuk kekal menerajui parti itu meskipun sebelum ini pernah berhasrat untuk berundur daripada jawatannya.
“Jika benar dakwaan kononnya ahli-ahli Bersatu hilang keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin, pastinya perwakilan Bersatu tidak akan menolak permohonan beliau untuk melepaskan jawatannya seperti diumumkan ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu pada 2023.
“Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya yang menunjukkan ahli akar umbi masih memerlukan kepimpinan Muhyiddin dan formula yang dicadangkan Muhyiddin juga telah diterima pakai dan menunjukkan hasil pada pemilihan Bersatu tahun lalu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Tun Faisal mengulas mengenai laporan sebuah portal berita baru-baru ini yang mendakwa keretakan dalaman Bersatu ketika ini semakin serius apabila dua puak bersaing mahukan pemimpin masing-masing menerajui parti itu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Memetik sumber dalaman, laporan itu mendakwa keretakan tersebut bermula pada Julai tahun lalu, apabila Muhyiddin menggariskan pelan peralihan kuasa yang menyaksikan Datuk Seri Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan November lalu.
Bagaimanapun dakwa laporan itu, pelan tersebut mencetuskan perpecahan dalam Bersatu dengan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Mohd Ali bertegas supaya Muhyiddin perlu kekal menerajui Bersatu, manakala satu lagi kem mahu Hamzah mengambil alih kepimpinan.
Dalam pada itu, Tun Faisal mempersoalkan laporan portal berita terbabit yang disifatkan tidak telus apabila enggan menamakan sumber dalamannya.
“Siapa dua orang sumber dalaman yang dikatakan menjadi sumber kepada berita yang ditulis itu? Pelik kenapa laporan itu tidak berani menyebut sumber mereka,” katanya.
Dalam pada itu, tegas beliau, pemilihan Bersatu yang berakhir pada November tahun lalu juga dengan jelas memuktamadkan bahawa tidak boleh wujud dua `imam’ atau pemimpin dalam parti tersebut.
Malah, katanya, semua sayap dalam Bersatu juga menerima keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini bersama-sama formula yang dicadangkan Muhyiddin tanpa sebarang pertikaian.
“Tidak ada pertikaian lagi berkenaan siapa yang seharusnya menerajui Bersatu selepas pemilihan tahun lalu, sebaliknya fokus Bersatu ketika ini adalah untuk membuat persediaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette