KUALA LUMPUR – Tiket bas bagi perjalanan ke destinasi utama di seluruh negara sempena perayaaan Aidilfitri masih banyak belum terjual.
Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini, hari ini mendapati hal itu mungkin disebabkan faktor Ramadan yang baru sahaja memasuki hari kelima.
Namun, pembelian tiket dijangka akan meningkat bermula minggu hadapan apabila lebih ramai penumpang mula merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.

Affrienah Aienurah Azman, 24, pekerja sebuah butik di Setia Alam memberitahu dia masih belum membeli tiket untuk pulang ke Kluang untuk Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Saya biasanya beli tiket pertengahan puasa sebab harga tiket selalunya tidak berubah.
“Tapi kalau lambat beli, memang susah nak dapat,” katanya.
Menurut Affrienah, dia lebih gemar membeli tiket secara dalam talian menerusi platform seperti RedBus kerana lebih mudah dan cepat tanpa perlu beratur di kaunter.
“Kalau beli online, lebih cepat dan senang. Saya memang tak suka beratur lama-lama, jadi beli online lebih praktikal,” tambahnya.

Perkara sama turut diakui oleh seorang pelajar diploma farmasi, Nurul Balqis Mohd Rizam, 20, yang akan pulang ke Kedah untuk berhari raya.
Bagaimanapun, Nurul Balqis menyatakan bahawa harga tiket bas cenderung meningkat sekiranya dibeli pada saat akhir terutamanya menjelang perayaan.
“Kalau beli last minute, harga boleh naik kepada RM75 atau RM80
“Tahun lepas saya pernah beli pada harga tersebut,” katanya.
Dia yang sering menggunakan syarikat bas seperti Pancaran Matahari dan Suasana Express juga mengakui lebih gemar membeli tiket secara dalam talian menerusi aplikasi EazyBook atau RedBus kerana adanya diskaun yang boleh mencecah 20 peratus.
“Kadang-kadang ada diskaun dalam 10 peratus, kalau bernasib baik boleh dapat lebih. Sebab itu saya lebih suka beli tiket bas online,” ujarnya.

Sementara itu, Daniel Hakeem Mohd Shahrir, 29, pekerja sektor perladangan kayu di Kelantan, turut mengesahkan bahawa tiket bas ke negeri Pantai Timur masih boleh didapati jika dibeli dua minggu sebelum perayaan.
“Kalau beli dua minggu awal, masih ada lagi. Tapi kalau dah masuk dua minggu terakhir, memang susah nak dapat.
“Biasanya harga tiket dari Kuala Lumpur ke Kelantan dalam RM50 lebih,” jelasnya.
Tambahnya lagi, membeli tiket secara dalam talian memberikan kelebihan kerana pengguna boleh melihat harga lebih awal dan membuat keputusan terbaik.
“Kadang-kadang kalau beli online boleh dapat harga lebih murah, tapi bergantung pada nasib juga.
“Kalau tempah awal, selalunya lebih selamat,” katanya.
Walaupun tiket masih banyak tersedia ketika ini, pengguna dinasihatkan untuk membeli lebih awal bagi mengelakkan kesulitan mendapatkan tiket terutama bagi destinasi yang menjadi tumpuan menjelang perayaan. – MalaysiaGazette