KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyifatkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada pemegang lesen stesen radio Era FM sebagai keterlaluan.
Exco Armada, Muhammad Khairi Zainol Abidin menegaskan, tindakan sudah pun dikenakan ke atas tiga penyampai radio stesen itu sudah memadai.
“Mereka juga telah memohon maaf dan dikenakan tindakan sewajarnya. Jadi, mengapa SKMM perlu mengambil langkah drastik sehingga memberi kesan kepada individu lain yang tidak berkaitan?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Khairi berkata, SKMM sepatutnya bersikap lebih adil dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menghina mana-mana agama.
“Jangan hanya fokus kepada kes ini. Sedangkan masih ada lagi individu lain yang bertindak menghina agama tetapi tidak dikenakan tindakan sekeras ini,” ujarnya.
Notis berkenaan dikeluarkan berikutan isu rakaman tiga penyampai radio Era FM yang didakwa mempersenda agama Hindu baru-baru ini.
Bagaimanapun menurut Armada, tindakan SKMM itu boleh menjejaskan periuk nasi kakitangan lain yang tidak terlibat dalam kesalahan itu. – MalaysiaGazette