KUALA LUMPUR – Kementerian dan agensi berkaitan harus meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan menyentuh isu sensiti 3R (agama, raja dan kaum).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya sebelum ini kerap menerima pertanyaan daripada pelbagai pihak berhubung mengapa Kementerian Perpaduan Negara tidak menahan individu-individu yang menyentuh isu sensitif 3R.
Sedangkan, jelas beliau, kuasa penguatkuasaan serta tindakan undang-undang adalah terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Kementerian Komunikasi (KK) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kementerian dan agensi di atas adalah bertanggungjawab dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mencetuskan isu 3R.
“Saya berharap agar tindakan penguatkuasaan dipertingkatkan oleh agensi di atas,” katanya menerusi ciapan di laman X beliau hari ini.
Sementara itu, jelas Aaron, dari sudut peranan Kementerian Perpaduan Negara, pihaknya memberikan fokus kepada usaha menerusi beberapa pendekatan reformatif dan intervensi dalam kes tersebut.
Antaranya, kata beliau, menerusi pemantauan isu melalui sistem eSepakat untuk disalurkan kepada agensi berkaita serta perkhidmatan mediasi melalui sebanyak 571 Mediator Komuniti dalam membantu meredakan konflik.
Selain itu, ujar beliau, Kementerian Perpaduan Negara juga mewujudkan Pusat Mediasi Komuniti iaitu platform bukan perundangan (litigasi) untuk membantu komuniti dalam menyelesaikan pertikaian.
Turut ditubuhkan, tambahnya, Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan yang terdiri daripada 12 kementerian dan agensi yang membolehkan langkah susulan diambil dengan segera.
Dalam masa sama, kata beliau, Dashboard Analitik Perpaduan turut diwujudkan bagi mengenal pasti kawasan hotspot untuk diberikan fokus melalui program intervensi selain pelaksanaan program dan kempen yang boleh menyatupadukan rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette