KUALA LUMPUR- Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoA) bersama Power Transcoteq and Services Sdn Bhd. (PTSSB) selama tiga tahun bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi peranti pintar untuk alat ubah (transformer) kuasa, baru-baru ini.
MoA itu merupakan satu lagi langkah stategik UMS dalam memperkukuh hubungan bersama industri bagi memperluas impak penyelidikan akademik ke dalam sektor tenaga dan teknologi elektrik.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan peranti berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk memantau, mengenal pasti dan memberikan notifikasi mengenai ‘state of health’ minyak penebat.
Katanya kerjasama itu juga amat signifikan dalam memastikan keberkesanan dan keselamatan operasi alat ubah kuasa yang menjadi tulang belakang kepada sistem penghantaran dan pengagihan tenaga elektrik khususnya di Sabah.
“Penyelidikan dan inovasi adalah elemen penting dalam pembangunan negara, sejajar dengan agenda nasional ke arah Revolusi Industri 4.0 dan kelestarian tenaga.
“Kami percaya bahawa kolaborasi antara ahli akademik dan industri seperti yang terjalin dengan PTSSB ini akan membuahkan hasil yang bermanfaat, bukan sahaja dalam konteks akademik tetapi juga dalam aplikasi industri sebenar,” katanya.
Kerjasama tersebut turut mendapat sokongan kewangan dengan jumlah keseluruhan RM273,110.
“Projek ini mendapat pembiayaan sebanyak RM248,110 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah dana Industri Matching Program (IMaP) bagi fasa satu tahun 2024. Selain itu PTSSB turut menyumbang dana sebanyak RM25,000 bagi menyokong pelaksanaan penyelidikan.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan dalam merealisasikan kajian ini ke tahap yang lebih tinggi,” tambah Kasim.
Kasim berkata dana tersebut akan digunakan untuk memperkukuh penyelidikan yang dijalankan oleh Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS dan memastikan teknologi yang dihasilkan dapat memberi impak yang berkesan kepada industri tenaga negara.
“UMS dan PTSSB komited untuk terus memperkukuh kerjasama ini dan berharap ia dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan serta inovasi yang mampu menyumbang kepada keperluan industri,” katanya.- MalaysiaGazette