KUALA LUMPUR – Program Empowering The Young Muslimah yang diadakan sempena Hari Wanita Sedunia mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 1,000 peserta hadir bagi menimba ilmu dan memperkukuh jati diri sebagai Muslimah dalam dunia moden.
Program anjuran Kretip Malaya dengan kerjasama beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ini bertujuan membincangkan isu kepimpinan Muslimah, keseimbangan dalam ekonomi rumah tangga, serta aspek kerohanian dalam menghadapi cabaran dunia hari ini.

Timbalan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, kehadiran peserta yang memberangsangkan adalah sebagai bukti bahawa wanita Muslimah muda semakin proaktif dalam memperkasa diri dan mencari ilmu.

“Sambutan yang kita lihat hari ini sangat luar biasa. Dari pagi hingga ke tengah hari, peserta kekal setia mendengar perkongsian ilmu daripada panel-panel jemputan.
“Ini menunjukkan wanita Muslimah muda sangat berminat untuk mendalami ilmu yang berkaitan dengan kehidupan mereka, termasuk dalam aspek kewangan Islam dan syariah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Bahagian Lembah Pantai, Nooryana Najwa Najib berkata, program ini bukan sekadar majlis ilmu, tetapi satu platform untuk memberi inspirasi kepada Muslimah muda dalam mendepani cabaran dunia moden.

“Program ini mengupas isu-isu berkaitan ekonomi rumah tangga, kerohanian, serta kepimpinan Muslimah dalam dunia moden.
“Kita tampilkan panelis terkenal seperti pendakwah Ustaz Mizi Wahid dari Singapura, ikon hijrah Ayana Moon dari Korea Selatan, pakar Al-Quran Ustazah Sharifah Khasif, serta beberapa tokoh Muslimah berjaya seperti Erin Adlina Adnan, peguam syariah Nur’ Isadora Ismail dan Ayesha Syahira.
“Kesemua mereka berbangga menjadi sebahagian daripada program ini kerana ia memberi ruang kepada Muslimah muda untuk berkongsi ilmu dan pengalaman,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Beliau turut mengakui sambutan luar biasa yang diterima memberi dorongan kepada pihak penganjur untuk menganjurkan program serupa pada masa hadapan.
“InsyaAllah kalau ada rezeki, kita akan anjurkan pada bulan Ramadan yang akan datang kerana kita tengok sambutan ini sangat positif pada hari ini.
“Bukan sahaja muslimah muda yang hadir tetapi ada juga kakitangan kerajaan, beberapa NGO yang menyertai kami pada hari ini.
“Jadi kami sebagai pihak penganjur amat bangga dan amat puas hati,” jelasnya.
Tambahnya, mesej utama program adalah memperkasakan wanita Muslimah agar lebih yakin dalam mencapai kejayaan dan memainkan peranan penting dalam masyarakat.
“Saya ingin berpesan kepada semua wanita – go big or go home! Jangan takut untuk melangkah lebih jauh. Jika kita ada mindset yang betul dan fokus, insya-Allah kita akan mencapai kejayaan, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat,” katanya. -MalaysiaGazette