Gambar hiasan

SEREMBAN – Polis meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan mengakibatkan dua remaja maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, di sini, Khamis lepas, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din berkata, setakat ini dua saksi kejadian telah tampil memberi keterangan.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini, bagi mereka yang ada rakaman kamera papan pemuka boleh tampil untuk bantu siasatan kerana semua mangsa masih di hospital dan belum dapat diambil keterangan.

“Berdasarkan siasatan, pemandu kereta jenis Honda Jazz  berusia 18 tahun yang terlibat dalam kejadian itu didapati tidak mempunyai lesen memandu.
“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau turut meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu kerana boleh mengganggu proses siasatan.

Semalam, media melaporkan dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja lelaki itu bersama seorang penumpang dari arah Senawang menuju ke Paroi gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah dan melanggar motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki kedua-dua mangsa serta sebuah lagi motosikal jenis Honda Vario. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here