Lokasi seorang lelaki dengan 14 rekod jenayah dan dadah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Molek, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis menembak mati seorang warga emas yang mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Molek di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pukul 3.10 pagi.

“Kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sedang menjalankan rondaan dengan menggunakan dua buah kenderaan polis.

“Unit peronda itu telah mengesan sebuah motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki di kawasan Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek dalam keadaan mencurigakan. Pihak polis mengekori dan berjaya menahan motosikal tersebut di kawasan berhampiran.

“Semasa pihak polis hendak turun bagi membuat pemeriksaan, tiba-tiba penunggang motosikal telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan serbuan menyebabkan pihak polis berbalas tembakan untuk mempertahankan diri sehingga keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hasil pemeriksaan polis mendapati suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 63 tahun telah terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis katanya, turut menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson di atas jalan berhampiran dengan suspek serta empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru di lokasi sama.

Menurut Kumar, semakan rekod polis mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah termasuk satu rekod bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, satu rekod bawah Akta Senjata 1960 dan satu rekod masih dikehendaki.

Siasatan dijalankan bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh dan Seksyen 3 Aktar Senjata Api (Penalti Lebih Berat) iaitu melepaskan tembakan daripada sesuatu senjata api pada melakukan kesalahan berjadual, katanya.

“Polis Johor menyeru orang ramai agar konsisten menyalurkan maklumat berhubung kejadian jenayah serta dadah di lokaliti masing-masing dalam membantu pihak polis memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat negeri ini pada tahap optimum,” ujarnya.

Tambah beliau, sebarang maklumat berhubung kes jenayah boleh disalurkan menerusi talian hotline 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast