KUALA LUMPUR – Seorang peguam menyarankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat siapakah dalang yang menyunting klip video asal membabitkan tiga penyampai radio Era FM
Peguam Mahmud Jumaat berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu telah menghasut orang ramai terutama kaum India sehingga wujudnya salah faham dalam kalangan masyarakat.
Katanya, beliau telah berjumpa dengan Azad Jasmin dan diberikan penjelasan hal sebenar yang berlaku dalam konti radio ERA.
“Pertama apa yang disangkakan sebelum ini benar-benar berlaku.
“Sila rujuk kembali kepada klip yang dimainkan oleh RSN Rayer di Parlimen dan majoriti komentar pempengaruh India di tiktok. Sekiranya kita teliti, video tersebut telah disunting hanya setakat 5 saat ketika disebut wei-wei sahaja,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.
Menurut Mahmud, suntingan video tersebut sehingga menjadi lima saat jelas menunjukkan ada pihak yang menjadi batu api dengan sengaja hanya menyunting bahagian yang menyebut seolah-olah wei-wei sahaja.
Beliau turut bertanya apakah RSN Rayer mendapat klip penuh video tersebut dan sekiranya benar, mengapa hanya bahagian klip itu sahaja dimainkan berulang kali di parlimen?
Pengamal undang-undang itu juga mempersoalkan mengapa hanya bahagian disunting lima saat itu sahaja yang dikongsikan dan dimainkan di media sosial untuk menyemarakkan kemarahan kaum india sehingga timbul salah faham dan tidak puas hati kepada ketiga-tiga penyampai Era.
Katanya, tindakan netizen prihatin mengeluarkan klip video penuh untuk meredakan kemarahan dan salah faham antara pihak-pihak.
Mahmud turut merujuk tarian Azad Jasmin yang serupa dengan tarian entrance Miki Ghazali dan pada masa yang sama penyampai radio tu juga telah ‘tag’ Miki Ghazali bagi klip tersebut.
“Sekiranya kita rujuk tarian pemain bola West Ham United memang bunyi sebutan wei wei (serupa dengan klip video kita) kedengaran ketika menari paqueta,” katanya.
Peguam itu juga mengulangi persoalan mengapa perlu video itu disunting sekiranya mereka benar-benar ingin mencari kebenaran.
“Saya percaya sekiranya ambil video itu secara penuh daripada awal, mereka akan kantoi yang tarian dibuat oleh Pak Azad semata-mata untuk meniru tarian Miki sebab ada latar belakang lagu Paqueta yang jelas kedengaran.
“Pada dapatan saya terdapat salah faham yang jelas dalam kes ini dan ada pihak cuba menganiaya, mengkhianati dan memfitnah ketiga-tiga DJ ini.
“Saya ingin tegaskan disini bahawa tujuan saya menerangkan secara detail tentang kes ini adalah untuk meredakan ketegangan yang berlaku antara kita semua sebagai satu keluarga di Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, Mahmud berkata, beliau menjadi sangat marah apabila mengetahui adanya komplot dan agenda jahat sesetengah pihak cuba untuk menjadikan ini sebagai isu perkauman.
Beliau harap penjelasan ini dapat membuktikan bahawa kita semua ditipu dan diperdaya oleh agenda jahat yang cuba memecahbelahkan kita sebagai satu keluarga yang harmoni!
“Saya sarankan kepada PDRM daripada siasat 3 DJ radio ini, sebaiknya PDRM siasat siapakah dalang yang menyunting video dan menghasut orang ramai terutamanya kaum india sehingga wujudnya salah faham antara kita semua,” katanya.
Rabu lalu, tiga penyampai radio ERA FM iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak susulan penyiaran kandungan video menyinggung sensitiviti masyarakat, khususnya penganut Hindu.
Mereka mengakui kesilapan yang telah dilakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya pada masa depan.- MalaysiaGazette