KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu memberi peluang dan berlaku adik kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu untuk menangani isu bekalan dan harga beras.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Mohd Hasbie Muda berkata, sejak Mohamad mengambil alih kementerian, beliau bukan sahaja berdepan beras tetapi bekalan telur dan ayam.
“Masalah telur sekarang ini dah selesai, seingat saya sehingga 100 peratus.
“Bukan itu sahaja, masalah ayam juga berjaya diselesaikan bukan hanya dari sudut harga tetapi bekalan juga selesai.
“Masalah banyak, yang belum selesai hanya beras,” katanya dalam sidang media Majlis Berbuka Puasa Amanah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hasbie berkata, cabaran utama yang dihadapi kementerian itu ialah kontrak konsesi beras yang berlanjutan sehingga tahun 2031.
“Ia ada obligasi, tetapi bukan soal harga. Kita tak boleh nak tentukan harga kerana ia memang hak kepada konsesi itu sendiri,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kebajikan pesawah harus lebih adil dan tidak hanya menguntungkan pihak tertentu.
Mohd Hasbie mendakwa, kerajaan sebelum ini mendapat sumbangan dari syarikat konsesi tetapi memasuki akaun parti – jadi parti mendapat manfaat dari pilihan raya yang lalu.
“Tetapi pemimpin kita mendapat sumbangan, diberi kepada pesawah. Ini bezanya. Sebab itu kalau tanya penyelesaian, inilah dia. Kita ambil keuntungan dari orang kaya beri kepada pesawah.
“Resipi Islam seharusnya, duit orang kaya itu mesti sampai kepada orang-orang susah,” tambahnya. – MalaysiaGazette