KUALA LUMPUR – Empat pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Mu’tah, Jordan, mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di negara tersebut, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khaled, memaklumkan bahawa dua daripada pelajar terbabit berasal dari Johor.
Menurutnya, mereka merupakan pelajar Tahun Pertama dalam bidang Fiqh Wa Usul di universiti berkenaan.
“Saya menerima maklumat daripada Atase Pendidikan Johor di Kedutaan Mesir bahawa empat pelajar Malaysia, termasuk dua dari Johor, mengalami kemalangan di Jordan.
“Dua lagi pelajar yang terlibat dalam insiden itu berasal dari Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Pelajar Johor yang terbabit dalam kemalangan tersebut ialah Muhammad Zakwan Azhar Masjudin dan Muhammad Ilham Dzurllkanian@Zulkarnian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Fared turut memaklumkan bahawa kedua-dua pelajar Johor serta seorang pelajar dari Selangor kini berada dalam keadaan stabil.
“Namun, seorang pelajar dari Wilayah Persekutuan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Jordan.
“Sama-sama kita doakan agar kesemua pelajar ini segera sembuh dan dapat meneruskan pengajian mereka seperti biasa, Amin,” ujarnya. – MalaysiaGazette