KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara menegaskan kesediaan mereka untuk berdebat dengan pihak yang lantang mengkritik dan melabel parti itu dengan pelbagai gelaran, termasuk ‘khadam’.
Namun, mereka kecewa kerana pihak yang diajak berdebat hanya berani menuduh tetapi tidak berani tampil bersemuka.
Ketua Pemuda Parti Amanah Negara, Mohd Hasbie Muda mengakui parti itu menerima pelbagai tuduhan tanpa sebarang ruang untuk memberi penjelasan.
“Bila kami ajak berdebat secara terbuka, tetapi pihak yang menuduh kami ini takut menyahut cabaran, siapa sebenarnya ‘khadam’ di sini?.
“Kami tidak mahu menuding jari, tetapi keberanian dan keterbukaan dalam berbahas adalah tanda kematangan politik,” katanya dalam sidang media Majlis Berbuka Puasa bersama Amanah, hari ini.
Beliau menegaskan, platform media dan akhbar harus digunakan untuk membincangkan isu-isu semasa secara sihat dan berfakta.
“Perdebatan harus dilakukan secara ilmiah dan bukan berdasarkan emosi semata-mata.
“Kami sentiasa bersedia berbincang. Debat itu baik, tetapi ia harus dilakukan dengan adab dan berteraskan fakta. Jangan hanya tahu menuduh di media sosial, tetapi hilang bila diajak bersemuka,” tambahnya.
Mohd Hasbie turut menafikan dakwaan berlaku perpecahan antara sayap Pemuda Pakatan Harapan.
Sebaliknya, beliau menegaskan perbezaan yang wujud hanyalah dalam cara penyampaian sesuatu isu dan bukannya matlamat perjuangan.
“Kritikan terhadap presiden sebelum ini bukanlah pendirian rasmi Pemuda Amanah.
“Ia hanya pandangan individu tertentu yang kebetulan ahli parti, tetapi ia telah disalah tafsir sebagai suara rasmi kami,” jelasnya.
Mohd Hasbie berkata, di peringkat Pakatan Harapan ada struktur rasmi untuk menangani isu-isu yang timbul.
Walau bagaimanapun, struktur penuh itu tidak ada di peringkat sayap pemuda Kerajaan Perpaduan.
“Kalau di peringkat Pakatan Harapan, memang kita ada struktur yang rasmi. Di peringkat perpaduan, ia tidak ada secara rasmi, tapi ada.
“Bila timbul isu, kita menghantar surat untuk mengadakan pertemuan dan berbincang secara sayap dengan sayap,” jelasnya.
Namun setakat ini mereka masih belum menerima jawapan terhadap usaha untuk mengadakan perbincangan tersebut.
Selain itu, beliau turut mengakui wujudnya kelemahan dalam koordinasi antara sayap parti, dengan mesyuarat terakhir diadakan pada pertengahan tahun lalu.
Namun, mereka tetap bersedia kembali ke meja rundingan bagi memastikan semua isu dapat diselesaikan dengan baik.
“Kami akui, komunikasi rasmi antara sayap parti kurang efektif, tetapi hubungan di peringkat nasional masih berjalan lancar.
Kami harap ada usaha untuk memperbaiki keadaan ini,” katanya.
Pemuda Amanah turut menegaskan, mereka tetap setia dengan Kerajaan Perpaduan dan tidak pernah memboikot mana-mana calon dalam pilihan raya kecil.
Bahkan, mereka sentiasa berusaha memastikan kemenangan calon kerajaan tanpa sebarang sabotaj.
Sebagai langkah penyelesaian, Pemuda Amanah mencadangkan supaya satu platform rasmi diwujudkan bagi membincangkan isu-isu dalam kerajaan perpaduan secara lebih sistematik.
Mereka berharap perbincangan lebih kerap diadakan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam menyampaikan isu kepada rakyat.
“Kami tidak mahu Kerajaan Perpaduan ini dilihat berpecah atau bertindak seperti pembangkang. Oleh itu, kami akan memastikan semua pihak dalam gabungan ini mendapat maklumat yang jelas sebelum mengulas sesuatu isu,” katanya. – MalaysiaGazette