KUALA LUMPUR – Sarah Yasmine, wanita yang pernah mendakwa bekas kekasih penyanyi Aliff Aziz menuntut ganti rugi sebanyak S$250,000 atau RM875,000 terhadap aktor berkenaan sebagai pampasan kerana secara salah memulakan tuntutan di bawah Akta
Perlindungan daripada Gangguan (POHA) terhadapnya tahun lalu.
Sarah, 25, berkata, tindakan tersebut tidak berasas memandangkan Aliff sudah mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan aktres Ruhainies pada 21 Februari lalu.
Jelasnya, pengakuan dibuat Aliff sekali gus mengesahkan semua kenyataan pernah dikeluarkan terhadap aktor itu sebelum ini terbukti benar.
“Saya merujuk kepada pengakuan bersalah anda yang baru-baru ini pada 21 Februari 2025 berkaitan dengan kes khalwat melibatkan seorang pelakon Malaysia, seperti dilaporkan secara meluas di media Singapura dan Malaysia.
“Pengakuan ini mengesahkan kenyataan saya sebelum ini mengenai hubungan anda dengan pelakon tersebut yang telah saya kongsikan secara terbuka adalah benar dan tidak memtnah.
“Walaupun begitu, anda telah secara salah memulakan tuntutan di bawah Akta Perlindungan daripada Gangguan (POHA) terhadap saya, yang membawa kepada Perintah Perlindungan Segera (EPO) yang dikeluarkan pada 29 April 2024.
“Tindakan undang-undang ini adalah remeh dan tidak berasas,” katanya yang berkongsi notis tuntutan (LOD) yang dimuat naik di Instagram miliknya hari ini.
Sarah memberitahu, dia juga memberi tempoh tujuh hari kepada Aliff untuk melunaskan ganti rugi seperti diminta.
Berkongsi lanjut, Sarah memberitahu, dia tidak akan berdiam diri selepas setahun menunggu keputusan ini.
Malah dia juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu lain yang memburukkan nama baiknya sebelum ini.
“Ini hanyalah permulaan, bagi mereka yang telah menganiaya saya dalam tempoh sama, terutamanya mereka yang mereka cipta fitnah tentang saya, sama ada besar atau kecil, ketahuilah saya akan datang pada anda juga tahun ini.
“Anda tahu siapa anda. Dah kata, kebenaran, pasti akan menang,” luahnya.
Pada tahun lalu, Sarah memaklumkan dia menerima notis mahkamah di Singapura yang menghalangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai Aliff.
Namun, pertikaian tersebut diselesaikan secara baik melalui mediasi di mahkamah.
Nama Sarah menjadi bualan hangat selepas dia tampil mengaku sebagai kekasih Aliff.
Pendedahan dibuat kerana tidak tahan melihat pelakon itu terus dikecam selepas dicekup khalwat dengan Ruhainies pada 9 Mac tahun lalu.
Sejak itu, dia kerap berkongsi tangkap layar perbualan dipercayai antara Aliff dan seorang wanita dikenali sebagai NRF menerusi Instagram miliknya. – MalaysiaGazette