KUALA LUMPUR – Sekolah Patriotik UMNO bukan sekadar medan ilmu, tetapi platform penting dalam melahirkan generasi muda yang berani, berprinsip dan istiqamah dalam perjuangan agama, bangsa, dan tanah air.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian ketika menyampaikan perkongsian bersama 50 pelajar Patriot 1 Sekolah Patriotik UMNO di Main Auditorium, Menara Dato’ Onn, Bangunan UMNO, semalam.
“Sejak 1946, UMNO telah memperjuangkan kemerdekaan negara dan mencorakkan pembangunan negara bangsa. Perjuangan ini perlu diteruskan oleh generasi pelapis yang menjiwai agenda ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Asyrad Wajdi turut memuat naik beberapa keping gambar beliau ketika berada di dalam program tersebut.
Dalam pada itu katanya, beliau turut menekankan kepentingan niat yang betul dalam perjuangan, di mana keikhlasan menjadi kunci kepada keberkatan setiap langkah yang diambil.
“Jika perjuangan kita didasari oleh niat yang suci dan benar, insya-Allah, melalui platform Sekolah Patriotik ini, lebih ramai pemimpin masa depan yang berwibawa dan komited terhadap perjuangan UMNO dapat dilahirkan demi negara bangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette