LONDON – Operasi menyelamat besar-besaran sedang dijalankan selepas kapal tangki minyak dan kapal kargo berlanggar di Laut Utara hingga mencetuskan kebakaran besar dan menyebabkan 32 orang cedera.
Mereka yang cedera telah dibawa ke darat untuk rawatan dalam tiga kapal, kata Pengarah Pelabuhan Grimsby Martyn Boyers kepada AFP.
Operasi itu diselaraskan oleh Pengawal Pantai United Kingdom (UK) selepas laporan mengenai perlanggaran antara sebuah kapal tangki dan kapal kargo di luar pantai East Yorkshire diterima, kata jurucakap Coastguard.
Jurucakap itu menambah, Pengawal Pantai sedang menjalankan penilaian kemungkinan tindak balas balas pencemaran di laut.
Imej-imej di saluran televisyen UK menunjukkan kepulan besar asap hitam tebal dan api melambung dari tempat kejadian kira-kira 10 batu (16 kilometer) dari pantai.
Pertubuhan Maritim Antarabangsa mengesahkan tumpuan kini adalah pada operasi memadam kebakaran serta mencari dan menyelamat.
Media-media tempatan melaporkan penggera mengenai perlanggaran berhampiran bandar pelabuhan Hull di East Yorkshire telah berfungsi pada 0948 GMT.
Helikopter Coastguard, pesawat, bot penyelamat dari empat bandar dan kapal lain menjadi sebahagian daripada operasi menyelamat besar, tambah Coastguard.
Syarikat kapal tangki Sweden Stena Bulk mengesahkan ia memiliki kapal tangki minyak yang terlibat dalam kemalangan itu, sambil menambah ia dikendalikan oleh Crowley, sebuah syarikat maritim yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Kapal tangki itu yang dinamakan sebagai Stena Immaculate oleh perkhidmatan pengesanan kapal dalam talian Marine Traffic, berlabuh berhampiran destinasinya, Immingham, berhampiran Hull ketika kejadian.
Ia telah mengembara dari Greece dan sarat dengan produk petroleum, menurut Bloomberg.
Penjejak perkapalan MarineTraffic berkata, kapal kargo terbabit pula ialah “Solong” yang menggunakan bendera Portugis, milik syarikat Jerman, Reederei Koepping.
Kapal-kapal lain yang mempunyai keupayaan memadam kebakaran telah dihantar ke tempat kejadian di luar pantai timur laut.
Perlanggaran kekal jarang berlaku di Laut Utara yang sibuk.
Kali terakhir berlaku pada Oktober 2023 melibatkan dua kapal kargo, Verity dan Polesie, berlanggar berhampiran pulau Heligoland Jerman di Laut Utara.
Tiga orang terbunuh dan dua lagi masih hilang, dan dianggap mati.
Verity berbendera Isle-of-Man, yang membawa keluli dari pelabuhan Jerman utara Bremen ke Immingham, tenggelam.
Pada 6 Oktober 2015, kapal pengangkut Flinterstar yang membawa 125 tan diesel dan 427 tan minyak bahan api karam selepas bertembung dengan kapal tangki Al Oraiq lapan kilometer (lima batu) dari pantai Belgium. – Agensi