KUALA LUMPUR – Aliran keluar dana asing dari pasaran saham Malaysia secara berterusan dilihat semakin membimbangkan.
Malah, sejak awal tahun ini, pelabur asing telah menjual bersih saham Malaysia melebihi RM60 bilion, dakwa Ketua Biro dan Perdagangan Antarabangsa, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Andy Tan Hum Wei .
Trend itu, katanya, bukan sahaja menjejaskan kestabilan pasaran modal negara malah memberi kesan negatif kepada ekonomi keseluruhan, pasaran pekerjaan serta nilai mata wang.
“Kerajaan tidak boleh terus berdiam diri dan mesti mengambil langkah segera serta berkesan untuk membendung situasi ini dan mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara.
“Kerajaan perlu melaksanakan dasar yang stabil bagi meningkatkan keyakinan pasaran. Konsistensi dasar ekonomi harus dipastikan bagi mengelakkan perubahan yang kerap dan mengurangkan ketidakpastian polisi.
“Selain itu, pengukuhan kedaulatan undang-undang juga penting bagi memastikan keselamatan pelaburan asing dan mengelakkan kerugian akibat perubahan dasar secara mendadak,” katanya dalam kenyataan.
Hum Wei berkata, penambahbaikan sistem percukaian dan persekitaran pelaburan juga merupakan faktor utama di mana kerajaan harus menilai semula dasar percukaian korporat bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di rantau Asia Tenggara.
Selain itu insentif pelaburan khusus bagi sektor teknologi tinggi, ekonomi hijau dan ekonomi digital perlu diperkenalkan bagi menarik minat pelabur antarabangsa.
“Penambahbaikan pasaran modal adalah aspek yang tidak boleh diabaikan. Kerajaan harus meningkatkan ketulusan kawal selia, memperbaiki kecairan pasaran dan memastikan persekitaran persaingan yang adil bagi pelabur.
“Di samping itu, memperkukuh hubungan antara pasaran modal Malaysia dengan pasaran serantau dan antarabangsa juga dapat membantu menarik aliran modal jangka panjang ke dalam negara,” jelasnya.
Katanya lagi, mengukuhkan diplomasi ekonomi dan memperluaskan kerjasama antarabangsa adalah satu langkah penting.
Justeru kerajaan perlu memperdalam hubungan ekonomi dengan rakan dagang utama seperti China, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah bagi memastikan daya saing Malaysia dalam rantaian bekalan global.
Pada masa sama, katanya, kerajaan harus giat mempromosikan penambahbaikan perjanjian perdagangan bebas seperti CPTPP dan RCEP bagi mengembangkan pasaran eksport serta menarik lebih banyak pelaburan asing.
“Aliran keluar dana asing memberi kesan besar terhadap ekonomi negara, dan sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah segera, keyakinan pasaran akan terus merosot seterusnya menjejaskan pembangunan jangka panjang negara.
“Oleh itu, kami menggesa kerajaan untuk bertindak secara tegas dan berkesan bagi menstabilkan pasaran modal, meningkatkan daya tarikan pelaburan serta memastikan Malaysia kekal kompetitif di peringkat serantau,” ujarnya. – MalaysiaGazette