KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini mengingatkan rakyat negara agar tidak terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang tidak mempunyai asas sama sekali.
Mengambil contoh satu hantaran di laman sosial yang dibuat oleh seorang individu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi dakwaan itu merupakan fitnah usang dan jahat bertujuan menimbulkan kegusaran awam mengenai laungan azan.
Menerusi taklimat harian yang disampaikan Setiauasaha kanan akhbar Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi Facebook hari ini, Anwar berkata, naratif seperti itu akan muncul apabila tiba musim pilihan raya.
“Budaya seperti ini harus dinoktahkan segera bagi mengelak kesan buruk kepada masyarakat dan negara.
“Masyarakat juga digesa tidak terpedaya dengan fitnah begitu yang mana madrasah Ramadan menyeru umat mengangkat budaya berfikir dan menolak sebarang kegiatan yang memecah belah umat termasuk gejala fitnah,” katanya. – MalaysiaGazette