KUALA LUMPUR – Sempena Ramadan ini, ramai yang mengambil peluang berniaga di bazar Ramadan demi menampung kehidupan keluarga masing-masing.
Tidak kecuali pemain bola sepak, sama ada yang masih aktif atau pun sudah menggantung but juga mengambil langkah sama.
Menerusi laman Facebook Harimau Malaya, bekas pemain pertahanan antara yang aktif membuka gerai jualan masing-masing.
“Bekas kapten pasukan Perlis, Es Lizuan Zahid berniaga char kuetiau dan Roti Tiki Taka! Sedap betul nampak kuetiau dia ni! Lokasi berhadapan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra,” tulis hantaran itu.
Melihat kepada foto disertakan dalam hantaran itu, Es Lizuan telah menjalankan perniagaan tersebut sejak 2015 dengan penduduk di negeri utara tanah air tersebut.
Sepanjang karier, dia yang kini berusia 31 tahun pernah membawa kegemilangan pasukan berkenaan dengan menjulang Piala Malaysia 2004 serta Piala Sumbangsih tiga tahun kemudian.
Selain beraksi buat Perlis, pemain kelahiran Setiawan, Perak itu juga mewakili beberapa kelab lain sepanjang kariernya termasuk Sime Darby FC dan PKNS FC.
Walaupun bukan nama besar dalam arena bola sepak tempatan, dia masih memiliki zaman permainan yang gemilang termasuk dinobatkan pemain terbaik dalam perlawanan akhir Piala FA 2012. – MalaysiaGazette