TAIPING – Dakwaan azan tidak kedengaran di Masjid Kampung Ayer Kuning dekat sini sejak beberapa hari lalu sebenarnya berpunca daripada masalah teknikal pada sistem pembesar suara luar.
Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, susulan daripada itu kerja-kerja pembaikan terhadap sistem siar raya masjid sedang dijalankan.
Justeru katanya, perkara berkenaan sememangnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana unsur politik kepartian.
“Pihak masjid mengalu-alukan kepada orang awam sekiranya terdengar berita yang tidak pasti boleh terus berhubung dengan pihak masjid untuk mendapatkan kesahihan supaya tidak berlaku salah faham lagi
“Nasihat kepada semua orang awam supaya tidak menghebahkan sesuatu berita jika kita sendiri tidak mendapat maklumat yang tepat dan jelas berkaitan permasalahan tersebut.
“Kes ini tiada kena mengena dengan mana mana pemimpin parti politik,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran pada laman Facebook beliau.
Terdahulu seorang pengguna media sosial mendakwa sebuah masjid di Kampung Ayer Kuning, dekat sini tidak dibenarkan azan menggunakan pembesar suara luar.
Selain itu wujud dakwan kononnya ia susulan aduan penduduk berkenaan bunyi pada pembesar suara masjid berkenaan terlalu kuat dan mengganggu waktu rehat.
Ahmad Saidi memberitahu, ekoran daripada itu satu pertemuan telah diadakan antara beliau bersama pengerusi masjid, Abu Bakar Che Ros, dengan individu yang memuat naik hantaran berkenaan pada lamam Facebook.
Beliau berkata, hasil pertemuan mendapati, sebahagian pembesar suara masjid didapati mengalami kerosakan dan tidak berfungsi dengan baik.
Tambah Ahmad Saidi, individu yang memuat naik hantaran itu juga mengakui bahawa isu yang berbangkit hanya didengar daripada ‘hearsay’ atau khabar angin pihak lain.
Kata beliau lagi susulan itu, individu berkenaan telah memadamkan hantaran itu sebagai mahu menjaga keharmonian masjid.
“Individu tersebut mengakui kekhilafan dia yang tidak menyemak dan memeriksa dahulu kesahihan keseluruhan permasalahan tanpa merujuk kepada pihak pengurusan masjid, sedangkan dia boleh melakukan demikian.
“Kesimpulan pada mesyuarat, kedua dua belah pihak bersetuju untuk tidak akan memanjangkan perkara ini lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu Abu Bakar ketika dihubungi berkata, ekoran daripada masalah teknikal yang dialami, masjid terpaksa menggunakan pembesar suara di dalam bangunan untuk laungan azan termasuk azan maghrib buat masa ini.
“Penggunaan pembesar suara di dalam itu pun selepas kita menerima nasihat daripada badan berkuasa agama.
“Ia kerana pembesar suara luar masjid mengalami masalah, kadangkala bunyi terlalu kuat dan kadangkala sangat perlahan.
“Rentetan itu, kami telah memanggil juruteknik dari Ipoh untuk melakukan kerja pembaikan yang dijangka mengambil masa untuk pulih,” ujarnya. – MG Perak