Monday, March 10, 2025
Home Sukan Luahan emosi Faisal, dedikasi hatrik pada anaknya

Luahan emosi Faisal, dedikasi hatrik pada anaknya

Faisal Halim. Foto FB Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim mendedikasikan jaringan hatriknya ketika menentang Kelantan Darul Naim FC dalam aksi Liga Super 2024/25 buat anak kesayangannya, Khalish Aryan.

Meluahkan penuh emosi di Instagram miliknya, Faisal turut menghadiahkan bola perlawanan buat anaknya dengan momen menyentuh hati.

“Alhamdulillah, ini rezeki abang. Abang selalu tanya bila nak main, daddy tak tahu nak jawab macam mana dekat abang. Ini untuk abang,” tulisnya sambil menyertakan foto memaparkan anaknya di perkarangan Stadium MBPJ.

Bola dihadiahkan Faisal kepada Khalish Aryan yang dianggap simbolik kepada kebangkitannya di atas padang selepas mengalami satu tempoh gelap dalam kehidupannya.

Pemain berusia 27 tahun itu bergelut selama 447 hari untuk kembali berjuang bagi  mendapatkan prestasi sebenar apabila menjadi mangsa simbahan asid.

Pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Sabtu lau, Faisal Halim mencipta hatrik selepas meledak jaringan pada minit ke-13, minit ke-45+2 dan minit ke-66 untuk membantu Selangor melakar kemenangan 7-0.

Empat lagi gol skuad kendalian Katsuhito Kinoshi itu masing-masing dijaringkan Quentin Cheng pada minit ke-31, Harith Haiqal Adam Afkar (minit ke-54 dan 56) dan Muhammad Aliff Izwan Yuslan (minit ke-73).

Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal Halim menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sekali gus mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa anggota badan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here