GEORGE TOWN – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) memperluaskan perkhidmatan Rapid Penang OnDemand dengan penambahan tiga laluan baharu serta dua van tambahan bagi laluan sedia ada.
Laluan baharu tersebut melibatkan Gurney dan Tanjung Bungah (T110B) dengan enam van, Sunway dan Butterworth (T710B) enam van, serta Paya Terubong (T211B) satu van.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, perkhidmatan yang sebelum ini dikenali sebagai Demand Responsive Transit (DRT) akan mula beroperasi pada 15 Mac depan bagi memenuhi permintaan pengangkutan awam di kawasan berpenduduk padat dan masih belum mempunyai akses kepada pengangkutan awam.
“Laluan ini turut menghubungkan perjalanan batuan pertama dan batuan terakhir (first and last mile) penumpang dengan rangkaian perkhidmatan Rapid Penang yang sedia ada. Ia sekali gus meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan permintaan yang menggalakkan, Rapid Bus merancang untuk menempatkan 50 van secara berperingkat sepanjang tahun ini bagi perkhidmatan di Pulau Pinang.
“Laluan sedia ada T210B bagi Farlim dan Air Itam yang dilancarkan pada 1 Ogos tahun lalu akan turut ditambahbaik dengan dua van tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada empat van.
“Penambahbaikan ini bertujuan menampung permintaan tinggi serta mengurangkan waktu menunggu penumpang daripada 17 minit kepada 10 minit.
“Malah, sejak laluan ini beroperasi, purata jumlah penumpang harian mencecah 137 penumpang, melebihi sasaran awal 100 penumpang sehari, dengan jumlah kumulatif lebih 26,000 penumpang dalam tempoh tujuh bulan,” katanya.
Rapid Penang OnDemand beroperasi setiap hari dari jam 6 pagi hingga 11 malam’dan penumpang boleh membuat tempahan melalui aplikasi Kummute.
Mod pembayaran tanpa tunai akan diperkenalkan mulai 13 Mac bagi laluan sedia ada dan 15 Mac bagi laluan baharu, menggunakan Pas Mutiara My50, Pas OKU Smile, kad debit/kredit, DuitNow QR serta e-Dompet.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan ini melalui media sosial rasmi Rapid Penang atau laman web www.myrapid.com.my. – MalaysiaGazette