KUANTAN – Biar jasad sudah tiada namun, keluarga mangsa ditemukan lemas di Jambatan Putra, di sini, masih merasakan anak ketiganya tetap berbakti kepada ibu bapa dan adik-beradik yang masih bersekolah.
Ibu mangsa, Fatimah Abdullah, 46, menzahirkan kesyukuran apabila keluarga masih dapat menerima manfaat daripada pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil daripada caruman Ahmad Afzan Syahmi Zabidi.
”Semasa hayat beliau memang banyak membantu keluarga, setiap bulan hulur duit kepada kami termasuk menanggung adik beradik yang masih belajar berusia 18 dan 15 tahun.
”Arwah memang rapat dengan adik-beradik dan keluarga, dan kali terakhir kami dapat berbuka puasa pada 1 Ramadan lalu,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Indera Sempurna, di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Pahang, Hisham Abdul Rahman berkata, pihaknya memberi faedah kematian dan pengkebumian kepada mangsa sebanyak RM3,000 sekali bayar dan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan kepada keluarga arwah.
”Kita nak pastikan anak-anak yang bekerja ini supaya majikan mereka mencarum, maknanya arwah pernah bekerja dan majikan mencarum, jadi layak dibayar pampasan.
”Maka jasa mereka yang mencarum ini kepada ibu bapa tetap ada diteruskan walaupun dia sudah tiada,” katanya.
Tambah Hisham, bagi kes Ahmad Afzan, 22, pencen penakat diberikan sepanjang hayat kepada ibu bapa manakala untuk adik beradik menerima manfaat sehingga berusia 21 tahun.
Hadir sama menziarahi keluarga arwah ialah Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan.
Sementara itu, Sabariah mengingatkan ibu bapa supaya mengambil berat kebajikan anak dengan memastikan membuat caruman di tempat kerja supaya nasib sentiasa terbela.

”Pentingnya kepada majikan dan pekerja mencarum supaya keluarga masih dilindungi apabila sudah tiada,” katanya.
Pada 5 Mac lalu, seorang lelaki yang bekerja di sebuah kilang di Gebeng terjatuh ke Sungai Kuantan pada jam 10.43 malam dengan motosikal jenis R250 ditemui di atas jambatan itu dalam keadaan enjin masih hidup. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
Lelaki jatuh jambatan ditemukan lemas
Lelaki dikhuatiri lemas selepas jatuh dari jambatan Tanjung Lumpur