SEMENYIH – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang mewajibkan audit terhadap syarikat pengangkutan yang terlibat dalam kemalangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, mana-mana lori yang terlibat dalam kemalangan akan diaudit oleh JPJ menerusi Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), seterusnya laporan akan dihantar kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Ini adalah langkah tegas bagi memastikan syarikat pengangkutan benar-benar mematuhi peraturan keselamatan.
“Kita tidak mahu kejadian seperti tayar lori tercabut atau muatan berlebihan terus berlaku sehingga membahayakan pengguna jalan raya,” katanya selepas meninjau operasi khas dan majlis berbuka puasa bersama anggota penguatkuasa di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih, di sini, hari ini.
Tahun lalu, ratusan syarikat digantung operasinya setelah gagal dalam audit keselamatan JPJ.
Menurutnya, salam setiap audit, terdapat tujuh atau lapan aspek utama diperiksa termasuk penyelenggaraan kenderaan, pematuhan had muatan, latihan keselamatan pemandu, serta keupayaan syarikat dalam menguruskan risiko kemalangan.
Mengulas operasi yang dijalankan hari ini, Anthony berkata, JPJ telah menyita sebuah kenderaan dan mengeluarkan 124 saman pelbagai kesalahan selepas melakukan pemeriksaan ke atas 218 kenderaan.
“Selain itu, lebih 1,000 kenderaan telah digantung Lesen Pengendali akibat ketidakpatuhan terhadap keselamatan jalan raya,” tambahnya.
Lantaran itu, neliau menggesa syarikat pengangkutan supaya lebih serius dalam memastikan aspek keselamatan dipatuhi, termasuk menyediakan latihan khusus kepada pemandu mereka.
Mengenai penggunaan kamera badan oleh anggota JPJ, Anthony menjelaskan, perkara tersebut masih dalam proses perolehan.
“Selain mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), proses perolehan aset tersebut juga melibatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Memandangkan PDRM telah menjalankan perolehan kamera badan, kami kini berbincang dengan KDN bagi membolehkan proses ini dilakukan secara bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, larangan terhadap penggunaan soket 3-pin dan pengecas mudah alih USB dalam bas ekspres masih lagi berkuat kuasa. – MalaysiaGazette