JOHOR BAHRU – Seorang akauntan wanita tidak lena tidur selepas kerugian RM46,534 akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan saham palsu yang menjanjikan pelaburan tinggi dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula apabila mangsa, 32, tertarik dengan iklan pelaburan saham yang dipaparkan dalam Instagram.
“Mangsa yang berminat telah menekan pautan yang disediakan dalam iklan tersebut dan diteruskan ke aplikasi WhatsApp melalui nombor 016-8872915.
“Mangsa kemudian diberikan peluang untuk belajar tentang pelaburan saham dan telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dikenali sebagai PJT Academy,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, wanita tersebut diberikan tunjuk ajar mengenai cara bermain saham dan bagaimana untuk membuat pelaburan.
“Namun apabila mangsa berhasrat memulakan pelaburan, mangsa diminta menghubungi nombor 017-2738436 yang mengaku sebagai wakil khidmat pelanggan.
“Mangsa diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi dan mengisi maklumat peribadi serta maklumat akaun banknya. Mangsa dijanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat menyebabkan mangsa terus terlibat dalam aktiviti pelaburan tersebut,” katanya.
Raub memberitahu, antara 13 Januari hingga 4 Mac lalu sebanyak 14 transaksi secara dalam talian dengan jumlah RM46,534 dimasukkan dalam lima akaun berbeza.
Menurutnya, apabila mangsa cuba untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan, suspek meminta bayaran tambahan RM620,000.
“Mangsa kemudian menyedari ditipu apabila semua usaha untuk mendapatkan semula wang tersebut gagal,” ujarnya.
Hasil semakan menerusi Semak Mule CCID katanya, mendapati lima akaun bank yang digunakan dalam transaksi tersebut mempunyai empat rekod penipuan lampau.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda antara RM10,000 dan RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
“Polis Johor mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud,” tambahnya.- MalaysiaGazette